Kebanyakan individu boleh "mentransformasikan" diri mereka dari seorang pekerja menjadi seorang majikan, tetapi ada ramai juga yang tidak mampu mengubah diri masing-masing. Bagaimana pula dengan anda?
Sebelum anda mengambil keputusan membuka perniagaan sendiri dan meninggalkan kerjaya anda sekarang, jawab dahulu 5 soalan di bawah dengan jujur. Setelah itu nilaikan semula keputusan anda.
1. Adakah anda merupakan seorang individu yang mampu melaksanakan pelbagai jenis tugas berbeza (multitasking) ?
Semasa anda bekerja untuk orang lain (makan gaji), anda hanya bertanggungjawab pada bidang tugas anda sahaja. Tetapi di dalam perniagaan, anda bertanggungjawab sepenuhnya kepada semua perkara. Ya, anda memang dibantu oleh pekerja-pekerja dan ada di antara mereka yang lebih mahir dari anda dalam bidang tugas masing-masing tetapi mereka cuma membantu dan menyokong anda. Ingin diingatkan jika terdapat sebarang masalah yang timbul di dalam perniagaan atau anda dipersoalkan tentang sesuatu perkara, anda TIDAK BOLEH menjawab "Ini bukan tugas saya" - kerana kesemua perkara adalah tugas dan tanggungjawab anda!
2. Bagaimana tahap toleransi anda semasa berdepan dengan risiko?
Pada peringkat permulaan operasi perniagaan, anda akan sentiasa bimbang dan sentiasa ingin mendapatkan maklumbalas samada perniagaan anda berada pada tempat yang betul pada masa yang betul dengan produk/perkhidmatan yang ditawarkan adalah betul untuk sasaran pelanggan yang betul pada harga yang betul ataupun Sebaliknya. Dan andainya anda dapati ada aspek-aspek tertentu yang perlu diubah, adakah anda akan mengubah dengan segera demi mengikut kesesuaian ataupun adakah anda akan bertahan dengan konsep dan idea anda yang telah anda rancangkan selama bertahun-tahun itu, kerana anda meyakini bahawa lambat laun pelanggan akan boleh menerimanya juga? Bagaimana pula reaksi anda ketika berhadapan dengan suatu halangan dalam perniagaan, adakah anda melihatnya sebagai satu ancaman ataupun peluang?
3. Adakah anda sentiasa memikirkan tentang gaji/pendapatan yang anda akan terima setiap bulan?
Sebagai pemilik perniagaan baru anda seharusnya tidak memikirkan gaji anda sebagai perkara utama, apatahlagi mengambil gaji mengikut kehendak hati. Anda dicadangkan untuk mengambil gaji seminimum mungkin, mengikut keperluan bulanan anda sahaja. Ini kerana sebahagian besar hasil perniagaan perlu digunakan balik untuk meneruskan operasi perniagaan. Malah selalunya pada peringkat permulaan, perniagaan memerlukan sumber kewangan yang lebih banyak dari yang anda jangkakan. Maka dalam hal ini, perniagaan perlu diutamakan berbanding diri anda sendiri. (Malah mungkin ada bulan-bulannya yang anda sendiri tidak mempunyai gaji!!). Adakah anda sanggub dan bersedia untuk itu?
4. Adakah anda seorang yang mampu mencetuskan idea sendiri dan mampu "bergerak sendirian" dalam usaha2 anda merealisasikan impian anda?
Atau adakah anda memerlukan orang-orang disekeliling untuk sentiasa menyokong dan memberi dorongan kepada anda?
Di dalam perniagaan anda, anda perlu mengetuai (lead) "pasukan" anda, maka anda perlu mengetahui dan meyakini apa yang perlu dilakukan, bila perlu melakukan dan siapa yang harus melakukan sesuatu tugas itu.
Kesemua tindakan dan operasi perniagaan yang berlaku setiap hari adalah mengikut perancangan serta keputusan yang telah anda buat. Ia mungkin menghasilkan pulangan yang baik tetapi mungkin juga sebaliknya akan berlaku. Walau apapun hasilnya, andalah satu-satunya orang yang perlu bersedia menerima dan memikul bebannya. Setuasi sebeginilah yang kadangkala menyebabkan anda berasa "terlalu sendirian" - seolah2 anda terasing dari orang lain, di mana anda tidak dapat bergantung harap pada sesiapa apatahlagi pada pekerja-pekerja anda, kerana mereka juga bergantung harap pada anda dalam menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul dalam perniagaan.
(hampir menitiskan airmata sewaktu menaip ini.. huhu. Mereka yang telah mengalaminya sahaja yang benar2 memahami maksud saya)
5. Adakah anda seorang individu yang boleh "adapt" dengan pelbagai setuasi dan pelbagai individu?
Apabila anda membuka perniagaan, anda akan berinteraksi dan berurusan dengan pelbagai jenis individu yang mempunyai pelbagai sikap dan kehendak. Anda bukan sahaja perlu berhadapan dengan pelbagai ragam pelanggan tetapi juga perlu berhadapan dengan pelbagai karenah dan sifat pekerja-pekerja, pembekal, pihak bank, "landlord" dan sebagainya. Maka anda seharusnya menjadi seorang yang "berorientasikan-manusia", fleksibel, mudah diajak berbincang dan belajar untuk menjadi tenang, sabar dan memahami orang lain dalam apa jua setuasi. Tanya diri sendiri adakah anda mampu menguruskan konflik dan mampu melihat sesuatu perkara itu daripada kacamata orang lain, lalu mengikut citarasa dan kesesuaian mereka dengan mengenepikan citarasa dan perasaan anda sendiri?
Jawab soalan-soalan di atas dengan jujur. Dan dari situ anda sendiri boleh menilai samada anda telah bersedia untuk membuka perniagaan sendiri ataupun anda berasa lebih selesa dan selamat dengan bekerja makan gaji sahaja.
"Surround yourself with people who are inspirational, insightful, and supportive of you and your business venture. And don't listen to people who say you're too young to be serious about business"
Baca selengkapnya ...
