Showing posts with label NOTA HARIAN. Show all posts
Showing posts with label NOTA HARIAN. Show all posts

Thursday, March 25, 2010

RINDU KAMU...

Assalamualaikum..

Hari ini tiba-tiba rasa rindu..

Sangat-sangat RINDU..

(Saya rindu kawan2 bloggers)

Baca selengkapnya ...

Sunday, November 8, 2009

Cak! Assalamualaikum Semua.. :-D

Ekhem..! Assalamualaikum rakan2.. apakhabar semua?


Alhamdulillah, akhirnya slps sebulan saya meninggalkan blog dan "berjauhan" dgn rakan2 bloggers, akhirnya malam nie, saya kembali semula ke rumah ini, dan bermula esok saya akan berziarah ke blog rakan2 pula (yuhuuuu..!) dan berharap saya punya bnyk kesempatan untuk membaca entri2 yang tertinggal.

Sblum tu nak berkemas dulu di sini dan menjawab pesanan2 yang ditinggalkan...

Eh! ada yang rindukan saya ke? hehe..

Nota Cik Skaf :- Sdkt cerita tntang "kerja luar daerah" itu - saya sangkakan urusan kerja itu akan berakhir dlm jangkamasa sebulan, namun rupa2nya ia adalah permulaan bagi tugas2 baru saya..!

Dengan tanggungjawab yg sedia ada, saya sendiri tak berapa pasti adakah "2 tugasan baru" ini sbnarnya adalah suatu rezeki, ujian ataupun dugaan besar untuk saya. Ia bagaikan angan2 dan mimpi yang "memaksa" saya merealisasikannya menjadi kenyataan.

Namun walau apapun, saya terima tanggungjawab ini dan menganggapnya ia adalah amanah yg Allah serahkan untuk saya uruskan.

Moga saya terus diberi kekuatan, kesabaran, keyakinan dan kesihatan yg baik dalam melaksanakan 2 projek ini. Doakan saya.
(Terfikir - mungkin inilah hikmahnya saya masih sendiri, saya punya masa untuk menumpu perhatian kepada kesemua kerja2 tersebut & kpda mereka yg berada di sekeliling saya, dan juga punya masa untuk berblogging ... :-))

Baca selengkapnya ...

Thursday, October 8, 2009

Rindu Ziarah ke Blog Kamu..


Nota Cik Skaf :

Salam semua..

Saya berada di "Luar Daerah".

Tiba2 tersangkut dgn satu komitmen kerja yg x terduga.

dan

Tiba2 pula terpaksa memberi sepenuh tumpuan pada satu perkara baru... hu2


Harap ini bukan satu kegilaan.


p/s Mudah2an 2 minggu lg segalanya selesai. Dan saya kembali berblogging dan berziarah ke blog rakan2. Selamat untuk Semua.


Baca selengkapnya ...

Monday, September 28, 2009

Kan Dah Kata "Safety First!"

Salam semua.
Hari ni Isnin. Selepas 1 minggu menunda pelbagai urusan yang melibatkan pelbagai jabatan - SOCSO, EPF, Pusat Zakat, TM Point dan Pej Kerajaan Negeri, maka saya fikirkan mau setelkan semua urusan2 itu, hari ni juga. Penuh semangat pagi2 hari.

Namun itu cuma perancangan saya, perancangan Allah lebih baik lagi.
------------------------

Belum pun saya bergerak ke mana-mana, berlaku suatu insiden luka berdarah di tempat kerja. huhu..

T/hari td - Seorang staf hampir terpotong jari sendiri. Subhanallah...!

Saya mcm nak pengsan melihat darah membuak2. Muka budak tu pun dah pucat. Saya lagi pucat. Yang lain2 tergamam tak tahu nak buat apa. Cepat2 balut tangannya. Bawa dia ke kereta dan terus bawa ke klinik.

"Rasa sakit sangat ke?, sabar ya" soalan saya tahap sekolah rendah.

Dalam hati dah macam2 cakap, kenapa cuai sangat? mcm mana boleh kena? Tapi.. orang tengah menahan sakit, takkan saya mau berleter pulak. Ada kang dia terjun kereta.
-------------------------

Di klinik - doktor berikan suntikan kancing gigi serta mencuci, letak ubat dan balut semula jari kelingkingnya itu.

"Kena bawa ke hospital - Jarinya tak boleh digerakkan, mungkin urat putus..!" kata doktor.

"Hah urat putus?" terperanjat saya.

Selepas kelam kabut membayar bil klinik (sampai lupa ambik resit), cepat2 bawa dia masuk ke dalam kereta semula dan terus memandu ke Hospital Besar pulak.
-------------------------

Tiba di Hospital Besar, 10 min terpusing-pusing mencari parking. Penuh sesak parking lot. Wah selepas raya ramainya orang masuk hospital!

Di Unit Kecemasan - Bila dia dipanggil masuk, saya ikut sekali.

"Teruk dalam lukanya ni. Perlu dijahit dan masuk wad!" kata doktor memandang saya.

"Masuk wad? urat jarinya putus ke Dr?"

"Tak pasti lagi, kita akan x-ray nanti"

"Owh Ok" jawab saya. Cuba tenang tapi dalam hati Allah aje yg tahu, mcm mana saya nak menjawab pada ibu & ayahnya? Sungguhlah saspen...

Sementara doktor memeriksa dan memberi suntikan, saya menguruskan pendaftaran masuk ke wad. Huhu..Punya lah jauh kaunter pendaftaran dengan unit kecemasan itu...

---------------------
4.00 ptg - Dia selamat dimasukkan ke wad. Saya menelefon ibunya memberitahu. Kemudian membelikannya sedikit bekalan makanan dan minuman.

Sementara menunggu ibunya sampai, kami berbual-bual. "Eh! mcm mana saya tiba-tiba boleh ada kat katil hospital nie..?" katanya. Kami tergelak.

"Nasib baik jari tak putus, kalau tak sia2 aje muka hensem, tapi takde 1 jari". Saya start berleter.

"Kerja laju itu penting, tapi berhati2 dan sentiasa mengikut langkah2 keselamatan itu lagilah penting terutama kalau kita menggunakan benda2 tajam dan bahaya!, kalau dah jadi macam ni kan susah, tak pasal2 masuk wad, awak susah, mak ayah lagilah susah (saya pun susah!)"

"Saya minta maaf" katanya.

Kesian sangat saya tengok dia. Saya tahu bukan salah dia, perkara dah nak jadi. Perkara rutin yang dia lakukan, tapi hari ni boleh pula tercedera.

5 ptg - Ibunya tiba dengan seorang jiran. Saya saspen.

"Ya Allah, abang... camana boleh jadi gini.. buat kerja tak baca bismillah ke?" Saya lihat riak muka ibunya itu. Tidaklah terperanjat sangat.
Dia memandang saya. Senyum dan ucap terima kasih. Alhamdulillah - Lega sikit hati saya. Mungkin dia melihat kecederaan anaknya tidak terlampau teruk.

Selepas menunggu doktor abes memeriksa, saya minta diri pulang.


Saya berdoa, kecederaan ini tidak menjejaskan kesihatannya dan selepas lukanya dijahit nanti, jarinya boleh digerakkan macam biasa. Ameen.. (Doakan sama ya..!)

p/s Syukur juga caruman SOCSO ada dibuat.

Baca selengkapnya ...

Friday, September 25, 2009

Salam Aidilfitri - Ucapan Terlewat :)

Assalamualaikum
Agak sdkt basi tapi rasanya belum sgt lewat utk saya m'ucapkan :-

"SELAMAT HARI RAYA AIDILFIRI
AMPUN MAAF ZAHIR DAN BATIN"
(walaupun ibadah ramadhan mungkin kurang sempurna)
Syukur Allah kurniakan juga nikmat berhari raya kepada kita...

Indahkan berhari raya?

Selain meraikan kemenangan berjaya menunaikan ibadah puasa dan bermujahadah melawan nafsu sepanjang Ramadhan (walaupun masih banyak juga yg belum mampu dilawan), hari raya paling dinanti sebab kita dapat berkumpul adik beradik dan ahli keluarga lain dalam suasana yg "biasanya" cukup membahagiakan..

Hari Raya juga dapat menemukan kita dengan saudara mara yg mungkin itulah setahun sekali berjumpa - setahun sekali pun mujur, mungkin ada yg 3-4 tahun sekali baru berkesempatan jumpa, sambil makan2 sambil kita sembang yang santai2 & mesra, semuanya dengan niat nak merapatkan lagi ikatan kekeluargaan.

Dengan hari raya juga, kita "mendidik" diri berziarah dari satu rumah ke satu rumah saudara mara ini, yg dekat yang jauh, yg mana boleh sampai dan terlarat, kita masing2 akan mengagahkan diri pergi, kesempatan itu juga membolehkan kita menjenguk dan bertanya khabar makcik pakcik datuk nenek yg tua & uzur, dan dapat juga kita hulurkan sedikit duit raya sebagai sedekah kepada mereka.

Indahkan? Kalau bukan raya, belum tentu kita ramai2 satu keluarga akan berpakat nak berziarah mcm tu.

Begitu juga di rumah kita, kalau bukan raya, belum tentu tetamu berombongan 3-4 biji kereta sekali datang, bersilih ganti tak henti2. Mmg mcm nak pengsan melayan dan mencuci pinggan mangkuk - terutama hari raya pertama - sbb menjamu ketupat rendang bagai..(rasa nak larikan diri masuk bilik - tido kejab..huhu tapi x de peluang..).

Walaupun penat tapi indahkan? Kalau bukan raya, belum tentu kita boleh kenal kebanyakan mereka terutama peringkat anak2 mereka. Apatahlagi setiap tahun budak2 ini membesar dan akan berubah rupa.

Maka syukur sangat Allah kurniakan nikmat berHari Raya ini. Ia memberi bahagia hampir kepada semua.

Namun begitu berharap sgt (berpesan pada diri sendiri sbnarnya) keseronokan berhari raya tidak melalaikan kita dari melakukan solat, tidak menjebakkan lidah dengan mengumpat dan fitnah, dan moga kita sama2 mampu membataskan aurat dan pergaulan, walaupun sesama saudara dekat...


Nota Cik Skaf: Kepada semua, Selamat Berpuasa 6 di bulan Syawal ini.

Rasulullah bersabda, "Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama satu tahun." (HR. Muslim)

Baca selengkapnya ...

Wednesday, September 16, 2009

Sila Jauhkan Diri Dr Saya...

Assalamualaikum,
Harap teman2 bloggers sihat sejahtera dan sentiasa di dalam rahmat Allah.

Saya diberi sedikit ujian kesihatan, sudah beberapa hari ini saya diserang demam, batuk, selsema dan sakit2 badan. Dah pergi klinik, Alhamdulillah cuma demam biasa, bukannya Influenza A HINI. Mungkin saya "demam urat" sebab terlampau penat dan agak kurang tidur sepanjang bulan ini [Walau bagaimanapun, utk langkah2 keselamatan, sila jauhkan diri masing2 dari saya :-) ]


Doktor mahu memberikan MC 3-4 hari. Saya cuma tergelak. Tak mengapa, jawab saya.
Saya sebak, saya berdoa dan berharap sangat moga kesihatan kembali sihat sebelum Ramadhan berakhir... Harap teman2 sudi doakan saya juga..

Nota Cik Skaf : "Dengan nama Allah yang Maha Besar, hambaMu ini berlindung denganMu yang Maha Agong dari kesakitan urat yang berdarah dan kesakitan panas api neraka"

Baca selengkapnya ...

Saturday, September 12, 2009

Nak Makan Apa Untuk Berbuka Ptg Ni?


Nota Santai : Salam semua. Semenjak awal puasa saya teringin nak makan 2 jenis makanan nie.

1. Kueh Lompat Tikam - Dengar cerita ini makanan paling popular setiap kali bulan puasa. Tapi bagi saya sebenarnya, inilah - bulan puasa kali inilah, baru pertama kali saya dengar nama kuih nie. Makanan asal kelantan kan? Saya betul2 teringin nak tahu mcm mana rasanya dan kenapa nama dia mcm tu?

Alhamdulillah, puasa seminggu aje saya dah dapat cari kat mana ada jual kueh ni di Melaka. Rupanya seperti di bawah. Rasanya? Uhuhu.. memang sedap, terutama bila makan masa berbuka. Laju dan sejuk aje masuk ke tekak.
Cuma pada saya agak terlebih manis sikit (ye lah kata pun asal kelantan kan... )
Tp manis2 pun, sehingga sekarang, dah 3 kali juga saya berbuka dgn lompat tikam... :)

Ini lah rupa lompat tikam tu, mcm bubur som2 sikit2 kan?, sbnarnya apa fungsi pulut merah tu ek. kalau takde pulut mmg tak sedap ke.?


2. TAPAI UBI - Ini makanan kedua yg saya idam2 kan.. (hu2 mngalahkan orang mengandung mengidam nak makan mcm2). Saya dah berpusing mencari di beberapa pasar ramadan di BP masa balik kg 1st day puasa hari tu. Tapi tak de rezeki, tak berjumpa. Takde sapa yg jual tapai ubi di pasar ramadhan sana..

Tapi petang tadi ke pasar ramadhan di Melaka ni (yg saya jumpa lompat tikam itu) untuk mencari air soya, sekali terjumpa pulak orang menjual tapai ubi. Macam tak sangka..! Alhamdulillah. Terus beli 2 bungkus. Abes licin saya seorang yg makan sepanjang malam. Puas rasanya. :)


Sejak dulu mmg suka tapai ubi [ubi ya, bukan pulut :) ]

-------------------------------------------------------------------------------------------------------


Nota Cik Skaf : Buat semua rakan2, Cik Skaf mengucapkan Selamat Mencari Malam Lailatul Qadar, Moga kita sama2 diberi kekuatan & semangat untuk beribadah dgn lebih rajin dan khusyuk dalam meniti2 hari2 terakhir Ramadhan ini.

Baca selengkapnya ...

Thursday, September 3, 2009

Bila Perempuan Bercerita Tentang Kereta

Salam semua.

Selepas hampir 2 minggu bertangguh-tangguh akhirnya petang tadi, dapat juga saya menyempatkan diri menghantar kereta ke workshop - Pusat Servis Kenderaan / bengkel kereta ? (Apa patut kita gelarkannya?) :-)

Sebenarnya masalah kereta buruk saya ini bermula sejak hari tu lagi, dari hari saya pulang ke kampung tuk menyambut ramadhan. Dan sebelum pulang semula ke sini pun, abah dah berpesan berulang kali, "Jgn lupa esok terus pergi hantar repair, bukan mahal sangat dan bukan lama pun.. jgn biar aje macam tu...bahaya..! bla bla bla..".

"Ok!" jawab saya, memberi janji.

Dan hari ini, 12 ramadhan. Pagi2 abah menelefon, "Lampu dan wiper kereta dah betulkan?".

"Dah!" jawab saya agak gagap. "Pos laju saya dah sampai?" cepat saya mengalih tajuk. Dalam hati rasa mcm nak menangis, pagi2 dah menipu abah.

Maka petang tadi, saya memaksa juga diri membawa kereta ke workshop.

*** Errrr... gambar skdr hiasan semata2 aje ya...

CikSkaf : Nak tukar lampu signal, kejab hidup kejab mati, wiper pun sama macam tu, tak function betul, ikut suka dia nak hidup nak mati..

Mekanik : Ok boleh, kena tengok wiring dia ni kak. Dah berapa lama lampu signal dan wiper ni problem? (sambil mencuba2 menggerakkan wiper)

CikSkaf : Dah dekat 2 minggu...

Mekanik : Hah???? 2 minggu ?.. Mcm mana akak boleh bawak kereta dgn tak ada lampu signal dan wiper pon problem???

CikSkaf : hehe... saya terer.
(.... saya buat toye takde perasaan je..tapi confirm muka dah merah - segan sendiri)

Abes tu, saya nak jawab apa lagi..ye tak. Dah mmg itu kecuaian dan ketidakprihatinan saya. Sebab tu agaknya abah selalu bising, hal-hal keselamatan macam ni saya ambil mudah. Nasib baik mekanik tu pun tak leterkan saya juga... :-P

Selepas hampir 2 jam, maka segalanya selesai, dan seperti selalu2 juga - pada asalnya cuma nak baiki lampu signal dan wiper, tapi akhirnya terjebak dengan lain-lain perkara - menukar minyak hitam, membuat balancing & alignment dan menukar 2 biji tayar ! Adeh... mmg pandai diaorang buat bisnes kan.... ? :P (maka saya pun dah takde bajet utk baju raya..! huhu)


Nota Cik Skaf : Dlm masa 2 jam itu, sempat saya menghabiskan novel "Ketika Cinta Bertasbih".
Antara kata2 yg terkesan di hati saya " Tidak ada yang boleh mengusir kecintaan pada kesenangan duniawi, selain rasa takut kepada Allah yang menggetarkan hati, atau rasa rindu kepada Allah yang membuat hati merana kerana kerinduan itu.."

Baca selengkapnya ...

Monday, August 24, 2009

Mana Mask Kamu? :-)

Nota Cik Skaf : Salam semua. Saya baru sahaja sampai di rumah. Baru sahaja pulang dari bercuti 2 hari dari tempat yang paling menenangkan perasaan, paling mendamaikan, paling membahagiakan.. dan tempat yang menjadi penguat semangat saya. Di mana ya? Mana lagi ... kalau bukan di kg saya - rumah Mak Abah saya! :-D

Alhamdulillah, tahun nie saya punya kesempatan untuk menyambut puasa bersama keluarga. 2 hari berbuka dan bersahur di rumah kg, sungguh memberi semangat di awal Ramadhan.. Selepas ini, tak kisahlah kalau pun sepanjang Ramadhan tak dapat pulang lagi sehingga Hari Raya (boleh ke ni?), saya dah berpuashati, krn awal puasa saya dah menyambutnya bersama keluarga. Dan selepas ini, walaupun setiap hari akan berbuka dan bersahur sendirian tetapi tidaklah saya asyik teringat-ingat kg aje bila nak menyuap nasik tu..

Eh cuma satu nak cerita - Sepanjang perjalanan dr bandar BP ke kg, saya sempat singgah 3 lokasi Pasar Ramadhan. Setibanya saya di lokasi pertama, saya yang dah terbiasa, keluar2 kereta terus aje mengikat mask ke muka (krn terbiasa di sini - sy rasa 60% org sini memakai mask bila di tmpt awam). Tetapi....bila saya mula berjalan dan lihat keliling, punyalah hairan, dalam seramai2 manusia itu, baik peniaga, baik pembeli tak seorang pun yang memakai mask! huhu.. saya pulak naik segan. Disebabkan tak nak jadi seorang yg pelik, saya terus bukak mask - masukkan semula dalam handbag.. hehe..boleh gitu?

Dan seperti diduga, 2 lokasi PaRam selepas itu pun sama jga. Sesampai di rumah, saya tanya mak abah, mereka jawab "memang kat sini takde nampak sapa pun pakai topeng muka" erkkkk!.. huhu..

Saya fikir org2 BP memang kalis penyakit. Semuanya kuat2 - b'tulang besi b'urat dawai, apa jenis virus pun takut nak hinggap..! tiba2 saya rasa nyesal pulak tak bermastautin aje kat BP dr dulu, x yah pindah mana2 ..kannn bandar BP - bandar Bebas Penyakit! [eheks! bloggers BP jgn mare eyk..nanti raya saya mintak maaf ....;-)]

Salam Ramadhan hari yg ke 3 buat semua!

Baca selengkapnya ...

Sunday, August 2, 2009

Thanx!

Nota Cik Skaf:

Hari yang agak sibuk (kunun2nya). Maklum hujung bulan. Seharian di tempat kerja. Awal2 pagi lagi dah bertolak dari rumah - di dalam hujan lebat yang mencurah2. Hampir tak nampak jalan sewaktu memandu.

Hujan lebat sebenarnya bermula subuh tadi, betul2 menguji keimanan. Selepas solat - kalau nak diikutkan hati, jiwa, rasa dan mata yang masih layu memang nak menarik selimut dan memeluk bantal semula. Sempat saya membayangkan, Perghh! memang indah.. Ini kalau saya menyambung tidur,di dalam kesejukan hujan awal pagi seperti ini, di hari sabtu pula, memang sampai tengahari agaknya tak sedar diri (hoho). Tetapi mengenangkan saya ada urusan yang perlu diselesaikan di bandar dan perlu berada di sana jam 9 pagi, maka niat tak berapa murni itu terpaksalah dibatalkan. Agak kecewa.

Malam - selepas maghrib, menghadirkan diri ke majlis kenduri arwah - Tahlil dan bacaan Yassin di rumah jiran (Saya ada bercerita tentang arwah jiran saya ini dalam entri sebelum ini). Keluarganya dari Johor mengadakan kenduri di rumahnya. Ramai yang datang. Selain kaum keluarga, bekas teman-teman sekerja (terutama staf bawahannya) pun ada.

Usai majlis, sewaktu menikmati jamuan, semua pun berbual dan bercerita mengenai arwah, cerita berkisar tentang kebaikan2 dia semasa hayatnya, tentang penyakitnya dan tentang saat2 akhir sebelum dia meninggal dunia. Dan saya, seperti selalu2 juga, diam dan mengangguk sahaja. Saya masih berasa seperti bermimpi. "Makan dan bersembang di rumahnya, tetapi dia tiada - Sungguhkah ini?".

Dan sempat saya membayangkan, mungkin begini juga setuasinya pabila saya yang tiada - Keluarga membuat kenduri di rumah saya, menjemput sanak saudara, teman-teman sekerja - mereka bercerita tentang saya dengan rasa terharu dan sebak. Dan kemudian berapa lama agaknya kesedihan itu akan berada dalam diri masing2?. Akan terkenangkah mereka pada saya untuk selama2 hidup mereka? atau saya akan dilupakan sebaik sahaja usai majlis?

Lewat malam - mata masih tak mahu lelap. Memujuk hati - bersabarlah. Di suatu hari di suatu masa keikhlasan akan terserlah juga. Saya tetap suka kamu.

** Untuk awak - Terima kasih. Awak dan keprihatinan awak penguat semangat saya. Ya. untuk awak!

Baca selengkapnya ...

Friday, July 31, 2009

Cahaya Mata!

Nota Cik Skaf : Wah! hari yang sangat bahagia. 2 berita gembira! Sebenarnya salah satu berita gembira itu sudah saya maklumi beberapa minggu yang lalu, namun yang satu lagi baru hari ini saya diberitahu. Jadi hari ini terasa bagaikan rezeki mencurah2 masuk, terasa bintang2 sedang turun ke bumi. Sungguh!

Sekadar nak berkongsi bahagia dengan yang lain, saya ingin mengkhabarkan bahawa - 2 orang adik/ adik ipar saya saya telah disahkan positif mengandung dan dijangka bersalin awal tahun hadapan. Ya.! Keluarga saya akan menerima 2 orang anggota baru tahun hadapan. Syukur padaMu ya Allah. Inilah yang kami tunggu selama bertahun-tahun.

Sudah terasa sepi benar keluarga kami berbanding keluarga saudara-mara yang tinggal berhampiran (hehe). Tapi kini Allah telah makbulkan doa. Bukan seorang, tetapi dua orang permata hati akan lahir. Bestnyaaaa.. seronok sangat..!Akan riuhlah rumah kami dengan tangisan dan gelak ketawa sikecil. Tak sabar2 rasanya menantikan saat2 itu.. Owh owh.. terlebih2 pulak saya mengimajinasi, hehe..mengalahkan bakal ibu bapanya..:) Tapi sungguh! bakal mak long mereka ini memang sangat2 teruja.!

Moga kesihatan jasmani dan rohani kedua-dua bakal ibu terpelihara baik sepanjang kehamilan ini. InsyaAllah.

Baca selengkapnya ...

Wednesday, July 29, 2009

Wayang

Nota harian:

Semalam, bercuti lagi. 2 hari "dicuti"kan dari bekerja. Duduk bersantai aje di rumah. Jadi kononnya untuk mengubat hati lara (haha), saya bercadang mau ke cinema menonton wayang. Tetapi selepas bersiap2, semasa memanaskan enjin kereta, baru terfikir, eh! kompleks kan blackout- maknanya dengan panggung2 wayang lah tak bukak! hoho.. pernah terjadi tak dalam sejarah begini? Sungguh memalukan sahaja kompleks ini.

Maka rancangan hendak menonton terpaksa dibatalkan, hendak ke bandar malas pulak rasanya. Lagipun apa cerita menarik di cinema sekarang ya? Dah lama benar saya tak menonton wayang dan tak mengikuti perkembangan filem2 baru yang ditayangkan. Last filem yang saya tonton ialah "Talentime", itupun selepas beberapa bulan tak menjejakkan kaki ke mana2 cinema.

Terasa benar peralihan usia, dah tua saya ini.. dah kurang gemar ke cinema. Sedangkan pada "zaman muda-muda" dulu, seminggu at least sekali mesti menonton filem, samada di TGV KLCC ataupun di Sunway Pyramid. Kadang2 boleh pulak marathon menonton 2 filem terus menerus. Sekarang ini kalau tiada "keperluan mendesak", hendak ke cinema pun malas. Lebih selesa menonton di rumah sahaja.

Berkenaan filem "talentime". Owh! itu rupanya filem terakhir Yasmin Ahmad. Selepas ini tiada lagi. Berharap ada pengganti beliau yang boleh menghasilkan filem2 sebegitu. Antara banyak2 filem yang beliau hasilkan, bagi saya ini yang terbaik. Ini yang paling saya suka (sungguh! 2x saya menonton filem ini di panggung). Ceritanya begitu terkesan di hati. Al-Fatehah buat Allahyarham Yasmin Ahmad.

Baca selengkapnya ...

Monday, July 27, 2009

Memo Cik Skaf

Memo Cik Skaf :

Disebabkan malam ini agak free, maka niat di hati nak tukar2 template blog ni - Guna kaedah cuba jaya. Jadi kalau ada yg rajin kerap berziarah ke blog saya dan melihat asyik berubah2 rupa. Janganlah terperanjat pulak ya. Dan andai pula tergerak hati nak memberi idea - mana yang paling sesuai adalah amat saya alu-alukan.. :-)

Owh satu lagi, Maaf, Lupa sangat2 saya nak inform "sesuatu yang penting" pada teman2 yang mempunyai kedua-dua nombor telefon saya. Line sy ***-***4927 itu dah hampir 2 minggu "tergendala perkhidmatannya". huhu... Telefonnya yang rosak. Mintak diganti baru agaknya tu. Atau mungkin merajuk dgn saya kerana jarang gunakan dia. Ia hanya digunakan untuk membuat dan menerima panggilan sahaja - huhu.. saya masih tak selesa menaip sms guna henfon Sony Ericson la. Tetap juga suka dengan Nokia.

Sekarang telefon Sony itu sedang di hantar servis. So buat masa ini, saya menggunakan satu line sahaja iaitu yang ***-***0695 itu. Harap kengkawan yang nak call atau berkirim msg, hantar ke nombor ini, sehingga maklumat lanjut tentang nombor lama itu diberitahu kemudian.. (eceh !!)

* Mcm poyo plak rasanya bg notis camni kat blog..haha

Baca selengkapnya ...

Sabar Ajelah..

Nota Cik Skaf:

Hari yang menguji kesabaran. Kompleks tempat di mana saya mencari rezeki "black-out" atau "tiada bekalan elektrik" atau dengan kata mudahnya - seperti kata mak saya - "takde karen". Bukan sejam dua, tapi seharian - dari pagi hingga ke malam! "Semua premis di dalam kompleks wajib ditutup dan hanya boleh beroperasi seperti biasa pada esok hari" Ini arahan pihak pengurusan. Agak lawak dan pelikkan sebuah kompleks membeli belah ditutup seharian kerana ketiadaan bekalan elektrik. Rumit sangat ke pendawaian elektrik di dalam kompleks ini sehingga mengambil masa 24 jam untuk dibaik pulih?

Bagi mereka yang bekerja makan gaji, mungkin ini suatu kelegaan - boleh balik awal dan bersantai di rumah. Namun bagi saya yang mengharapkan "gaji harian" ini, ini adalah antara dugaan musibah yang perlu saya tempuh. Tiada bekalan elektrik, bermakna premis saya tak boleh berjalan, tak beroperasi dan tak berfungsi (langsung!), bila tidak berfungsi maknanya tiada jualan - tiada duit masuk dan tiada pendapatan untuk hari ini, namun ada beberapa kos tetap lain yang masih perlu saya tanggung...!

Namun apa daya saya, jika sudah begini rintangan yang perlu saya tempuh, saya perlu kuatkan hati dan terima dengan penuh kesabaran ajelah. Takkan hendak menangis sepanjang hari pulak kan..(haha), keadaan tetap begini juga. Tentu ada hikmah disebalik setiap kejadian yang berlaku. Bukankah kehidupan memang begini. Pelbagai dugaan datang bersilih ganti. Jika kita tak mampu bertahan dan bersabar, apa lagi yang boleh kita lakukan? Adakah anda mengetahui kaedah lain selain kesabaran dan ketabahan (disamping berdoa dan bersolat) dalam menghadapi persoalan hidup..?

Petikan kata2 hikmah yang boleh dijadikan semangat tatkala dihimpit musibah :-
"Bersabarlah sebagaimana kesabaran orang2 yang yakin akan datangnya pertolongan Allah,
Sesungguhnya kelapangan akan datang setelah kesusahan dan kemudahan akan datang setelah kesulitan. Sesungguhnya juga kesabaran itu lebih memberikan kedamaian daripada kesedihan, dan ketabahan lebih memberikan hal-hal yang positif daripada tangisan"

Baca selengkapnya ...

Saturday, July 25, 2009

Saya Keliru

Salam. Ini entri pendek.

Sebenarnya saya sedang keliru, pelik dan tertanya2. Mungkin tidak pada orang lain, tetapi ya bagi saya. Baru sebentar tadi saya tertonton sebuah drama di TV2, tajuknya "Tentangan Dendam". Saya fikirkan ia adalah drama Mandarin kerana majoriti pelakon adalah pelakon berbangsa Cina. Tapi jgn kata nak dgr dailog Mandarin, dailog English pun takde!. Semua dailog adalah dalam bahasa Melayu. Agak mengkagumkan juga.. ! huhu.. Cuma mcm ada rasa sikit2 pelik bila 2-3 orang bangsa Cina bercakap Melayu 100% - bukan budaya di Malaysia pun kan? Sebenarnya ini kali kedua saya lihat "Drama Melayu" sepenuhnya yang dilakonkan oleh pelakon berbangsa Cina sepenuhnya.

Anda pelik tak? kagum tak? saya kagum .. hehe.. Betulll..! Pandai betul org2 buat marketing ek? Satu usaha murni yang cukup baik. Hurmm..

*Walau bagaimanapun saya fikir andai drama tersebut menggunakan dailog mandarin, mungkin lagi ramai yg menontonnya... hehe*

Baca selengkapnya ...

Sunday, July 19, 2009

"Dia: Telah Tiada"

Nota Cik Skaf: Maaf. Agak panjang entry kali ini. Saya ingin menulis suatu kisah tentang jiran saya. Harap anda sudi membaca hingga ke noktah terakhir.

Dia jiran saya. Memang betul-betul jiran, dinding rumah kami bercantum. Blok batu dinding kiri rumahnya merupakan blok dinding kanan rumah saya. Kami tiada jiran lain yang begitu dekat, kerana rumahnya adalah di end lot teres kami, manakala di sebelah kiri rumah saya pula adalah rumah yang tidak berpenghuni. Keterasingan ini menyebabkan kami agak akrab dan mesra, kemesraan yang bagaikan telah bertahun-tahun terjalin. Sedangkan saya baru sahaja berpindah ke sini awal tahun lalu - Mac 2008.

Keakraban ini juga mungkin disebabkan ada banyak persamaan2 kami. Kami berasal dari negeri yang sama - Johor dan kemudiannya berpindah ke sini demi mencari rezeki. Kami hampir sebaya, dan yang paling penting (saya fikir inilah sebab utamanya) ialah kerana kami masing-masing hidup sendirian. Kisah perjalanan hidup kami juga hampir sama. Maka kerana itu, kami serasi untuk saling teman-berteman. Jangan imaginasi yang tidak2 ya... dia juga seorang perempuan.

Disebabkan kesibukan dengan kerja masing-masing maka bukanlah setiap hari kami dapat berjumpa dan bercerita. Maka jika kebetulan tersua muka, kami pergunakan sebaiknya untuk saling menyapa dan bertanya khabar. Jika punya kesempatan di hujung minggu pula, kami saling bertandang ke rumah masing-masing. Sambil makan2 di sofa dan menonton TV, kami bercerita - pelbagai perkara. Selalunya tentang masa lalu kami, impian-impian dalam hidup dan apa cita-cita kami yang belum terlaksana. Manakala cerita-cerita duka dahulu menjadi bahan ketawa kami sahaja.

Tetapi itu dahulu, cerita tahun lalu. Bermula akhir Disember yang lepas, saya kerap melihat dia tidak sihat, demam dan selalu benar mengambil MC. Suatu hari di bulan yang sama, dia memberitahu saya - dia baru selesai membuat pemeriksaan di hospital pakar dan doktor mengesahkan dia mempunyai ketumbuhan di pangkal rahim! Saya terkejut. Terdiam. Cuba menahan diri, tapi tatkala melihat dia tersedu, saya turut tersedu. Kami menangis. Saya memberi semangat dan kekuatan kepada dia. "Buatlah pembedahan membuang ketumbuhan itu. InsyaAllah awak akan sihat seperti dulu. Dugaan ini dari Allah. Untuk menguji kekuatan dan keimanan awak, tanda kasih Dia pada awak". Saya berdoa dia akan tabah menempuhnya dan redha menghadapi dugaan berat ini.

Feb 2009 - Dia selamat menjalani pembedahan. Alhamdulillah segalanya telah selesai. Awal-minggu pertama selepas pembedahan itu, Saya lihat dia telah kembali sihat dan boleh menjalankan kerja-kerjanya seperti biasa. Selepas itu, entah mengapa kami jarang dapat bersua muka. Disebabkan tidak bersua muka dan cuma sesekali bertanya khabar via sms, maka saya beranggapan dia telahpun sihat sepenuhnya.

April 2009 - Telah seminggu saya melihat keretanya tidak bergerak. Mungkin dia mengambil cuti panjang, namun bayang dirinya tidak pula kelihatan. Suatu hari, bersama pembantu, saya menyempatkan diri datang bertandang. Dan alangkah terperanjatnya kami! Keadaan dirinya sangat berbeza. Dia sgt kurus dan cengkung. Wajahnya pucat, matanya tak lagi bersinar. Kami bersalaman dan berpelukan, terasa bahang panas badannya menjalar masuk ke dalam tubuh saya. "Apa telah berlaku? kenapa tidak beritahu saya apa-apa pun? Saya sangkakan awak sihat, kenapa sembunyikan daripada saya?". Dia tersenyum cuma, katanya tidak mahu menyusahkan hati saya dan melihat saya sedih. Oh Tuhan, tapi apa daya saya, dengan melihat keadaannya begitu, bagaimana saya dapat menahan air mata?
"Mengapa begini cepat sel kanser membesar di dalam tubuh? Kenapa sel-sel itu begitu kejam "memakan" dirinya sehingga menjelmakan dia sebegini rupa?" Namun kata-kata itu cuma berlegar2 di fikiran saya.

Awal Julai 2009 - Suatu petang, sewaktu saya menziarahinya, dia menyatakan dia akan dibawa pulang ke Johor pada keesokan hari , dia akan dijaga oleh keluarganya di sana dan akan dirawat di hospital JB sahaja. "Itulah yang terbaik bagi awak, tinggallah di sana bersama family dalam waktu rawatan ini". Dan semasa saya bersalaman sebelum keluar rumah, dia sempat berbisik, menyatakan keinginan untuk makan bubur nasi, ayam dan kentang goreng daripada kedai saya. Saya berjanji akan membawa makanan itu waktu pulang nanti. Di dalam fikiran, saya telah mengatur untuk menyuruh seorang staf menghantar makanan itu ke rumahnya secepat mungkin.

Namun ketika sampai di restoran, saya benar-benar terlupa. Sehinggalah pada malam hari sewaktu premis hendak ditutup, tiba2 saya teringat akan pesanannya itu. MasyaAllah. Hampir menjerit saya! marah dengan diri sendiri. Namun saya bungkuskan juga bubur nasi, ayam dan kentang goreng untuk dibawa pulang. Setibanya di rumah, seperti diduga, saya cuma dapat berjumpa dan menyerahkan semua makanan itu kepada pembantunya sahaja. Dia telah pun tidur. Tak terkira kesal di hati saya. Sempat saya mengirimkan salam.

Semalam - Sabtu: 18 Julai 2009: 6.00 petang. Janji Allah telah datang. Ketika saya sedang agak sibuk di dalam keriuhan orang ramai. Saya mendapat panggilan telefon dari pembantunya. Sayup di hujung talian saya mendengar suaranya bergetar menahan tangis "Kakak, harap bersabar ya. jangan terperanjat, kak Ana sudah tiada, dia telah meninggal dunia sebentar tadi .........." ............... sunyi, saya tidak mendengar apa-apa lagi. Kaku sebentar. Dunia terhenti seketika. Benarkah? Mengapa begini cepat? Baru beberapa bulan sahaja dia mengetahui penyakitnya. Dia masih muda. Dia seusia saya.! Sedih sayu menikam-nikam perasaan. Oh Tuhan.. Jika inilah terbaik untuknya. Siapalah saya untuk menolak takdir. Saya redha. "Dari Allah Kita Datang, KepadaNya lah Jua Kita Akan Kembali."

Rupanya hari di mana dia ingin makan bubur nasi itu adalah hari terakhir saya dapat berjumpa dan berbual dengannya. Selepas ini tiada lagi. Dia telah pergi. Dengan meninggalkan kenangan dan impian hidupnya kepada saya.
Inilah janji yang telah Allah tetapkan. Kematian Pasti Datang. Dan kita sebagai makhluknya langsung tiada kudrat untuk mengetahui bilakah masanya, apatahlagi untuk mengelakkan diri daripadanya. Semalam, adalah giliran dia, giliran saya akan tiba juga suatu hari nanti, di suatu masa yang saya sendiri tak tahu bila. Adakah malaikat maut akan datang menjemput ketika usia tua nanti atau dalam usia2 sebegini..?. Sesungguhnya itu adalah rahsia Allah, tak siapa pun akan tahu. Dan jika datangnya dalam usia2 sebegini, apakah yang saya ada sebagai bekalan untuk dibawa ke sana? Ohhh.. Saya benar-benar menginsafi diri.

Mohon pada Mu Ya Allah, moga sewaktu saya (dan kita semua) kembali kepadaMu nanti, kita telah dapat menyiapkan diri dengan bekalan secukupnya dan membawa bersama iman dan cinta yang tak bertepi untuk Mu yang Maha Pencipta.

"Rohana - Ya. Dia jiran dan sahabat saya dan dia telah kembali mengadap Ilahi mendahului saya. Beginilah pengakhiran persahabatan kami di dunia ini."

Al-Fatihah untuk Arwah Rohana. Moga rohnya dicucuri rahmat
dan ditempatkan di kalangan orang-orang soleh.

Baca selengkapnya ...

Wednesday, July 15, 2009

Nota Rabu 15/07

Nota Cik Skaf : Sudah beberapa hari kereta tersadai tidak dihidupkan enjinnya. Hanya berada di garaj. Tidak ke mana-mana. Jika dia punya rasa dan akal, tentu tertanya2.
Ke mana menghilang? Pause.
Si tuan punya kereta rupanya sedang merehatkan diri di dalam rumah.
Sedang bersantai menonton Tv, melayari internet, membaca buku2
dan mendengar radio. Indah sungguh hidup,
bukan selalu dapat menikmati "kerehatan" seperti ini.
Owh! di corong radio, ada lagu Hattan,
menarik sekali lirik dan melodinya. Begitu mengesankan.
Terlarut skjb dlm perasaan menghayati lagu.
Ingin berkongsi jua dengan yang lain.


Rendang Tak Berbuah
~Sunyi tenggelam terlantar dalam telanjang
Di pintu rindu
Hidup dan mati di sisiku
Sakit yang datang
Menguji kasih dan sayang
Antara merendang semalam
Mungkin takkan berbuah
Hanya meneduhkan namun tidak mengenyangkan
Musafir lalu nan dahaga di jalan panas membara

Begitulah hakikatnya oo
Di mahligai kesakitan
Yang mengundang sahabat saudara jauh dekat
Menghembus nafas pilu
Ibu mengertilah.. aku sengsara
Lemas berendam air mata
Rendang kasihmu dalam gelora
Jadi rebutan selamanya

Berikanlah pengertian waktu ku di hujung jalan
Berbicara bahasa Tuhan yang menaroh penyesalan
Manapun aku berlabuh pastinya untuk disambut
Biarpun tak bersungguh biarlah tak tertangguh
Di telapak kakimu
Sakit kurasakan
Jadi peneman masa semalam yang silam ~

"Tinta pena telah mengering, lembaran2 catatan ketentuan telah disimpan, setiap perkara telah diputuskan dan takdir telah ditetapkan. Maka apa yang membuatkan kita benar tidak akan membuatkan kita salah. Sebaliknya apa yang membuatkan kita salah tidak akan membuat kita benar"

Baca selengkapnya ...

Wednesday, June 17, 2009

MUNAJAT

Entry pertama untuk blog ini adalah lirik lagu yang ingin saya kongsikan dengan yang lain. Yang mana ia merupakan alunan lagu wajib saya bagi memulakan hari - di setiap pagi. Lagu dari kumpulan Rabbani. Saya terlalu menyukai lagu ini sejak dr sekolah lagi (sejak mereka di dalam Al-Arqam). Lirik, Melodi serta vokal ustaz Asri dalam lagu ini cukup mendamaikan, menenangkan dan memberi keinsafan pada diri.

MUNAJAT

TUHAN..
KUBISIKKAN KERINDUAN,KEINSAFAN,PENGHARAPAN
TUHAN..
KUSEMBAHKAN PENGORBANAN
MEMBUKTIKAN KECINTAAN

BISIKANKU UNTUKMU..
MUNAJATKU MOHON RESTU
SEMOGA CINTAKU BUKAN PALSU
PADA DESIRAN PENUH SYAHDU
GELOMBANG LAUTAN RINDUKU

MUNAJATKU DALAM SYAHDU...
MERINDUI MAGHFIRAHMU
MARDHIAHMU DALAM RESTU
HARAPAN TULUSNYA HATIKU..

KURINDUKAN PIMPINANMU
KEAGUNGANMU DALAM DOAKU
KEBESARAN PADA QUDRATMU
IA MEMBINA ROHANIKU..

UJIAN KEPAHITAN DI DALAM KEHIDUPAN
PADANYA ADA KEMANISAN
KETENANGAN DAN KEBAHAGIAAN
BAYANGAN SYURGA IDAMAN..


Nota CikSkaf: "Setiap suratan yang kita tempuhi, lihatlah hikmah yang tersembunyi, pohonlah hanya padaNya..Lapangkanlah hati yang sengsara.."

Baca selengkapnya ...