Showing posts with label PEDOMAN HIDUP. Show all posts
Showing posts with label PEDOMAN HIDUP. Show all posts

Wednesday, September 9, 2009

Malam Pertama Di Sana

Bagaimana agaknya malam pertama di sana? Bagaimanakah rasanya? takutkah ? berdebarkah? atau tetap tenang tidur sahaja seperti malam-malam sebelumnya di alam sini?

Ya, bagaimana agaknya Malam Pertama di Alam Kubur ?

(Artikel dr simpanan peribadi saya, maaf tidak mengetahui siapa penulis asalnya)

"Pernahkah engkau melihat kuburan? bukan di luarnya, tetapi di dalamnya. Pernahkah engkau melihat gelapnya kuburan itu?Pernahkah engkau melihat sempit dan dalamnya liang lahat? Sedarkah engkau bahawa kuburan itu dipersiapkan untukmu dan untuk orang-orang selain darimu? Bukankah telah silih berganti engkau melihat teman-teman, orang-orang tercinta dan keluarga terdekatmu diusung dari dunia fana ini ke kuburan?" (Bukankah sepatutnya ia dapat mendatangkan rasa insaf?)

"Wahai anak Adam, apa yang telah engkau persiapkan saat malam pertamamu nanti di alam kubur? Tidakkah engkau tahu, bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan. Malam yang kerananya para ulama’ serta orang-orang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh. Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan di dunia yang amat berbeza."

"Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai, dunia yang diterangi dengan lampu-lampu, dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan serta minuman, tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam alam yang gelap-gelita, lilin-lilin yang menerangi alam itu adalah amalan-amalan yang kita lakukan, alam itu pula sempit ia hanya dikelilingi tanah dan bantalnya juga tanah."

"Adalah diceritakan bahawa Rabi’ bin Khutsaim, di dalam usahanya mempersiapkan diri menghadapi malam pertama tersebut, menggali liang kubur di rumahnya. Bila ia mendapati hatinya keras, maka ia masuk ke liang kubur tersebut. Ia menganggap dirinya telah mati, lalu menyesal dan ingin kembali ke dunia, seraya membaca ayat: "Ya Rabbku, kembalikanlah aku semula (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap apa yang telah kutinggalkan."

Kemudian ia menjawab sendiri; "Kini engkau telah dikembalikan ke dunia wahai Rabi’..". Dan disebabkan hal tersebut, Rabi’ bin Khutsaim didapati pada hari-hari sesudahnya sentiasa dalam keadaan beribadah dan bertaqwa kepada Allah!"

"Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kematian dan sakaratul maut yang bakal menjemputmu? Tidakkah engkau menangis atas kuburan dan kengerian yang ada di dalamnya? Tidakkah engkau menangis kerana takut akan hausnya di hari penyesalan? Tidakkah engkau menangis kerana takut kepada api neraka di Hari Kiamat nanti?

Sesungguhnya kematian pasti menghancurkan kenikmatan para penikmatinya. "


Nota Cik Skaf :
"Ya Allah, perbaikilah bagiku agamaku
kerana ia merupakan pengawal bagi setiap urusanku dan perbaikilah duniaku kerana di sinilah penghidupanku berlangsung,
dan perbaikilah akhiratku kerana di sanalah tempat aku akan kembali, serta jadikanlah kematian itu sebagai tempat istirehatku dari segala kejahatan"

Baca selengkapnya ...

Friday, August 28, 2009

TIDUR : Bagaimana Cara Kamu?


Nota Cik Skaf: Salam semua. Mata benar2 mau lelap. Badan pun terasa letih yang amat. Terlebih makan "nasi ambeng" sewaktu berbuka tadi agaknya... huhu.

Tapi sebelum log-off laptop dan mengenepikannya dari berada di atas katil, saya terasa untuk memasukkan satu entri tentang pilihan cara tidur.

Ada 4 cara tidur :-

  1. Tidur Para Nabi - Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan bumi.


  2. Tidur Para Ulama' & Ahli Ibadah - Miring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat malam.


  3. Tidur Para Raja Yang Haloba - Miring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang banyak dimakan.


  4. Tidur Syaitan - Menelungkup atau tiarap seperti tidurnya ahli neraka.

Yang mana satu agaknya cara tidur rakan2 ? :-)

Ok.. Good Night & Sleep Tight. Assalamualaikum.


"Kuserahkan diriku kepadaMu, aku serahkan urusanku kepadaMu dan aku sandarkan belakangku kepadaMu kerana cinta dan gerun padaMu. Tiada tempat berlindung dan tiada tempat selamat daripadaMu melainkan kepadaMu. Aku percaya akan kitab yang Dikau turunkan dan Rasul yang Dikau utuskan"

"Dengan NamaMu Ya Allah, aku hidup dan aku mati"

......zzzzzZZZZzzzz....

Baca selengkapnya ...

Tuesday, August 4, 2009

Diam Itu Lebih Baik

Nota Cik Skaf: Satu kisah sejarah Nabi dan Sahabat baginda, Sayidina Abu Bakar yang boleh kita sama-sama renungkan dan jadikan penguat hati dalam mendidik diri menjadi seorang yang lebih sabar.

Rasulullah s.a.w sedang duduk-duduk bersama Sayidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. Datang seorang lelaki lalu memarahi dan mencaci-maki dan menghamun Sayidina Abu Bakar. Sahabat mulia itu diam sahaja, tenang mendengar tohmah dan seranah yang dihaburkan kepadanya. Melihatkan Sayidina Abu Bakar tidak bertindak apa-apa, lelaki itu menjadi semakin berang.

Suaranya semakin lantang mengherdik dan menengking Sayidina Abu Bakar. Namun caci dan makian itu tidak juga menyebabkan Sayidina Abu Bakar marah, apatahlagi bertindak balas. Beliau duduk diam saja di samping Rasulullah. Dibiarkan lelaki yang tidak dikenali itu terus galak dengan cacian dan makiannya.

Barangkali berasa malu kerana gagal membuatkan Sayidina Abu Bakar bertindak sesuatu, lelaki itu mencaci sekali lagi dengan lebih hebat dan lebih keras. Dituduh, dikeji dan difitnah dengan pelbagai tuduhan serta bahasa yang sungguh kesat, sehingga sahabat nabi itu berasa maruahnya tercabar.


Akhirnya perlahan-lahan Sayidina Abu Bakar bingkas. Melihat Sayidina Abu Bakar bangun, Rasulullah yang sedari tadi berdiam tenang pun ikut bangun. Tindakannya itu, spontan menarik perhatian Sayidina Abu Bakar, lalu beliau bertanya "Wahai Rasulullah! Adakah kau mahu membelaku?"

"Tidak" jawab Rasulullah sepatah. "Waktu engkau berdiam diri tadi, malaikat berdiri di sampingmu untuk menafikan kata-kata lelaki itu. Tetapi apabila engkau bangkit untuk menjawab caciannya, malaikat pun beredar meninggalkanmu. Sekarang yang datang adalah syaitan."

Untuk apa syaitan datang? ia datang untuk mengapi-apikan lagi suasana yang sudah mulai panas. Untuk melaga-lagakan lagi keretakan yang sudah mulai
pecah dan menyerpih.

Allah s.w.t mengingatkan dalam firman-Nya:
" Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak berfaedah, mereka berpaling daripadanya dan berkata, 'bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amal kamu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang yang jahil'." (Al-Qassas:55)

Baca selengkapnya ...

Friday, July 17, 2009

Bisik2 Yang Mengguris Hati

Nota Cik Skaf : Suatu kejadian yang tidak begitu menarik untuk diceritakan telah berlaku di tempat kerja siang tadi. Puncanya kerana salah faham. Seseorang telah berbisik2 dengan seseorang yang lain. Dan ketika itu terdapat seseorang yang lain juga berada di tempat yang sama. Seseorang yg ketiga itu telah menyangkakan mereka berdua sedang mengata dirinya.. Maka berlaku sedikit kekecohan kerana itu. Nasib baik kekecohan ini dapat dileraikan dengan cepat oleh "seseorang" yang lain pula. Jika tidak mungkin membawa kepada pertengkaran dan permusuhan yang berpanjangan. Stop. Kejadian ini mengingatkan saya kepada satu hadis Rasulullah.

Telah bersabda Rasulullah s.a.w:
"Apabila kamu bertiga, maka janganlah berbisik-bisik dua orang tanpa sahabat mereka (orang yang ketiga), kerana sesungguhnya perbuatan yang demikian itu menyedihkan (menyakiti dirinya/mengguris jiwa dan perasaannya)"


Pengajaran Hadis:

  1. Dalam pergaulan dan komunikasi, ada adab2 yang perlu dijaga. Percakapan dan tindakan kita janganlah sampai mengguris hati dan menyakiti perasaan orang lain. Sebagaimana kita mahu perasaan kita dijaga, maka begitulah kita menjaga perasaan orang lain.

  2. Ajaran Islam yang suci punyai kaedah bagaimana menghalang sifat-sifat yang buruk (mazmumah) daripada mengotori hati umatnya. Demikian juga segala penyebab yang boleh mencetuskan sifat-sifat buruk itu; dari awal lagi dicantas agar ia langsung tidak berputik.

  3. Hadis di atas juga menjelaskan haram hukumnya dua orang Islam berbisik-bisik di hadapan saudara seagamanya yang lain, walaupun perkara yang dibisikkan itu langsung tidak ada kena mengena dengan orang ketiga tadi. Ini kerana perbuatan berbisik-bisik di hadapan orang ketiga itu boleh menimbulkan rasa curiga , tidak sedap hati, syak wasangka dan buruk sangka pula di dalam hatinya. "Ha, diaorang ni mengata aku lah tu..", "Diaorang ni tak nak kawan dengan aku ke?". Itu semua bayangan syak wasangkanya. Inilah natijah-natijah buruk yang tidak disukai oleh Islam.

Lihatlah bagaimana Islam mengatur perkara-perkara ini. Islam bukan sahaja agama yang mengatur tatacara hubungan hamba (manusia) dengan khaliqnya, bahkan mengatur juga tatacara bagaimana hubungan menusia dengan sesama manusia juga. Di sinilah terletaknya keindahan Islam.

Baca selengkapnya ...

Friday, July 10, 2009

Khutbah Terakhir Rasulullah

Nota Cik Skaf: Saya ke Nilai 3 akhir tahun lalu untuk mencari frame hiasan – hajat untuk dihadiahkan kepada seseorang kerana berpindah ke rumah baru. Sewaktu mencari2 itu, saya terpandang satu frame yang digantung rendah. Bertulis - Khutbah Terakhir Rasulullah. Saya berdiri di hadapan frame dan membacanya. Tanpa sedar air mata mengalir. Terlalu sebak dan hiba. Melalui entry ini, saya juga ingin berkongsi catatan khutbah tersebut dengan yang lain.

KHUTBAH TERAKHIR RASULULLAH
9 ZULHIJJAH TAHUN 10 HIJRAH
DI LEMBAH URANAH, GUNUNG ‘ARAFAH

"Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan !!!
Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini.
Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu.


Allah telah mengharamkan riba’, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba’ hendaklah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakannya ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya. Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku.

Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hambaMu. "
-----------------------------------
Selepas baginda membacakan khutbah ini, para sahabat saling berpelukan kerana begitu gembira. Namun Sayyidina Abu Bakar perasan al-Qaswah unta nabi menitiskan air mata dengan banyak. Beliau pun ikut menangis.

Sayyidina Umar bertanya apakah sebabnya lalu Sayyidina Abu Bakar menjelaskan. Di sebalik berita gembira sempurnanya agama Islam, wahyu penutup itu juga petanda khabar duka. Baginda pasti akan meninggalkan mereka kerana tugasnya sebagai Rasul sudahpun selesai. Mendengar itu Sayyidina Umar pun menangis sama, begitu juga dengan para sahabat yang lain.

"Wahai seorang kekasih, telah lama kau dirindui, pilu sedih dalam kerinduan, menangispun tak berairmata, namun hati tetap gembira, syafaatmu menanti disana..di akhirat kita kan bersua"

Baca selengkapnya ...

Wednesday, July 8, 2009

Wahai Kaum Wanita!

Tazkirah - Wahai Kaum Wanita!

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar, iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka.

Seorang wanita yang cukup pintar antara mereka bertanya: Wahai Rasulullah, mengapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka?

Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Dan aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal daripada golongan kamu.

Wanita itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah maksudnya kekurangan akal dan agama itu?

Rasulullah s.a.w bersabda: Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki.
Begitu juga wanita tidak mengerjakan solat pada malam-malam yang dilaluinya dan berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama.

Hadis sahih Muslim

Baca selengkapnya ...

Saturday, July 4, 2009

20 Nasihat Utk Wanita

Berikut adalah ringkasan kata-kata nasihat yang boleh kita jadikan panduan hidup, yang mana sebahagian besarnya saya petik dari buku "50 Wasiat Rasulullah Utk Wanita". Moga dengan melaksanakannya kita sama-sama memperolehi kehidupan yang lebih bahagia dan mati kelak dalam keadaan terpuji. InsyaAllah.

1. Ikhlaskanlah hati kerana Allah tatkala bersendirian mahupun terang-terangan, hindarilah riya' dalam perkataan mahupun perbuatanmu.

2. Jadilah orang yang selalu melaksanakan solat tepat pada waktunya dan melaksanakan solat sunat semampumu.

3. Hendaklah dikau mendalami ilmu agama dan janganlah dikau memandang segala urusan hanya dengan kekuatan akalmu sahaja.

4. Taatlah dikau kepada suamimu, dan janganlah dikau menolak apapun yang diminta selain bukan suatu kederhakaan, jagalah dirimu dan hartanya semasa dia tiada di sisimu.

5. Berbaktilah kepada orang tuamu dengan cara berbuat baik kepada keduanya, dan usahakanlah agar dikau selalu dapat menggembirakan mereka.

6. Hindarilah syirik dalam akidah dan ibadahmu.

7. Berbuat baiklah kepada jiran-jiranmu, baik dalam perkataan mahupun perbuatan.

8. Jadilah dikau sesama muslimah pesaing dalam kebaikan dan bersegeralah menjauhi keburukan, perbanyakkan zikir dan sedekah.

9. Didiklah diri menjadi wanita mulia dan jauhilah sifat kedekut, kerana Allah mencintai orang yang mulia dan pemurah hati serta membenci orang yang bakhil.

10. Bacalah Al-Quran selalu dan jadikanlah ia sebagai tempat kembali bagi dirimu.

11. Jagalah hatimu dari pelbagai macam syahwat dan syubhat.

12. Didiklah anak-anakmu dengan menanamkan sifat jujur, baik dalam perkataan mahupun perbuatan, ajar mereka adab dan akhlak yang baik.

13. Jauhilah dirimu dari selalu mengadu domba serta memburuk-burukkan kehormatan sesama wanita Muslimah.

14. Janganlah dikau mencela orang lain. Sentiasalah membuat persangkaan bahawa wanita Muslimah SELAIN dirimu lebih utama darimu di sisi Allah.

15. Jadilah wanita yang zuhud di dunia dan menyenangi akhirat.

16. Janganlah menjadi wanita yang suka mengeluh dan marah-marah tatkala mendapat cubaan. Jadilah wanita yang sabar dan pasrah demi mencari pahala dan redha Allah.

17. Jadilah wanita yang dapat dipercayai dan boleh memegang amanah.

18. Janganlah dikau memandang orang yang lebih tinggi dari dirimu dalam hal keduniaan, tetapi pandanglah yang lebih rendah, agar dikau tidak menganggap hanya sedikit nikmat yang Allah kurniakan kepadamu.

19. Bersiap-siaplah menghadapi mati, sebelum ia benar-benar mendatangimu, sentiasa memohon keampunan serta rahmat Allah.

20. Gembirakanlah wanita Muslimah lain dengan sesuatu yang kamu senangi, dan buatlah mereka membenci sesuatu yang juga dikau benci.

Nota Cik Skaf: Seorang A'rabi pernah berkata " Wanita yang paling utama adalah yang paling benar apabila berbicara, yang bersikap halus apabila sedang marah, yang hanya tersenyum ketika tertawa, yang mentaati suaminya, yang sentiasa berada di rumahnya, yang terhormat di tengah kaumnya, namun merasa diri hina ketika bersendirian mengadap Tuhannya. Yang melimpah ruah kasih sayangnya, ramai anaknya dan urusannya terpuji"

Baca selengkapnya ...

Tanda Orang Berakal

Artikel ini adalah ringkasan dari buku "Falsafah Hidup" dalam tajuk "Tanda Orang Berakal" - Prof Dr Hamka. Untuk renungan bersama.

Orang yang berakal, pandai memilih perkara yang memberi manfaat dan menjauhi yang akan menyakiti. Mereka menimbang biarlah susah menempuh suatu perkara sulit asal akibatnya baik, daripada perkara yang mudah tetapi akibatnya buruk.

Orang berakal selalu bermuhasabah diri. Bermuhasabah diri ialah dengan menilik hari-hari yang telah dilalui, adakah dipergunakan kepada perbuatan-perbuatan yang berguna, dan hari-hari yang masih tinggal kemanakah pula digunakan.

Orang yang berakal selalu mengingati kekurangannya, baik kekurangan pada agama, atau pada akhlak dan kesopanan. Setelah itu diikhtiarkan beransur-ansur untuk merubah segala kekurangan itu.

Orang yang berakal tidak berdukacita jika ada cita-citanya di dunia yang tidak sampai atau nikmat yang meninggalkannya. Diterimanya apa yang terjadi atas dirinya dengan tidak merasa kecewa dan tidak putus-putusnya berusaha.

Orang yang berakal tidaklah berduka hati. Kerana kedukaan itu tiadalah faedahnya. Banyak duka mengaburkan akal. Tidak juga dia bersedih. kerana kesedihan tidaklah memperbaiki perkara yang telah terlanjur. Banyak sedih juga mengurangkan akal.

Orang berakal tidaklah menjawab sebelum ditanya. Tidak pula menjawab pertanyaan lebih daripada mesti. Tidak pula suka menghinakan orang.

Orang berakal tidak lupa pada bahagian cela dirinya, kerana orang yang lupa memandang aib dirinya sendiri, akan lupalah kepada kebaikan orang lain. Maka lupa akan aib diri itu adalah bencana hidup yang sebesar-besarnya.

Nota Cik Skaf : Sabda Rasulullah "Sesungguhnya orang yang bodoh tetapi rajin beribadat telah tertimpa bahaya lantaran bodohnya, lebih besar daripada bahaya yang menimpa lantaran kejahatan yang dilakukan oleh si durjana. Yang mengangkat manusia kepada darjat dekat kepada Tuhan ialah menurut kadar akal mereka jua"

Baca selengkapnya ...

Tuesday, June 23, 2009

JANGAN KOTORI HATI

Artikel di bawah dipetik dari buku "Tip Menjadi Individu Menarik - dalam tajuk Jagalah Hati Jangan Kau Kotori - Dato'Dr Fadzilah Kamsah"

Apabila seseorang itu mempunyai hati yang bersih, maka dia menjadi pusat segala kebaikan di muka bumi ini. Orang yang hatinya bersih, secara automatik memiliki suatu kuasa magnet yang luar biasa. Kata-katanya dapat meyakinkan lawan bicaranya. Sikapnya menunjukkan yang dia sentiasa sedang diawasi oleh Tuhan. Jelas kelihatan padanya hanya redha Tuhan yang diharapkan.

Bergaul dengan cara yang baik adalah bergaul daripada hati ke hati dengan ikhlas.

1. Saya bukan ancaman bagi saudara
- Jadilah individu yang tidak menjadi ancaman kepada orang lain. Rasulullah bersabda " Muslim yang baik itu adalah muslim yang menyelamatkan Muslim lainnya daripada gangguan tangan mahupun lisannya." Dengan hati yang bersih, orang lain berasa aman dan tenang berjumpa dan berurusan dengan kita.

2. Hindarkan menghina
- Hindarkan segala macam sifat yang merendahkan, mengutuk dan menghina dalam bentuk apa pun kepada seseorang, baik peribadinya, bentuk tubuhnya dan lain-lain.

3. Hindarkan memotong percakapan
- Walaupun seseorang itu pandai bercakap dan dia adalah seorang ketua namun ini tidak bermakna dia boleh memotong percakapan orang lain. Mendengar sebenarnya memerlukan komitmen yang lebih daripada bercakap. Cuba latih diri bersabar mendengar. Apabila kita memberikan peluang kepada orang lain bercakap maka kita lebih dihormati.

4. Hindarkan membanding-banding
- Kita biasa membandingkan individu itu dengan individu ini. Ia membawa sakit hati dan kecewa apabila individu tersebut mendengarnya. Dalam organisasi pekerja selalu menyalahkan satu masalah kepada pihak yang satu lagi. Akhirnya mereka hanya sibuk menyalahkan orang lain tanpa benar-benar menyelesaikan masalah itu.

5. Hindarkan merosak kebahagian orang lain
- Merosakkan kebahagian orang lain adalah satu lagi tanda busuk hati. Jgn melihat pembinaan menarik sebagai satu persaingan. Sekiranya rakan kita mendapat jawatan yang lebih tinggi ataupun mendapat anugerah, maka kita raikannya walaupun kita tidak mendapat anugerah yang sama.

6. Jangan mengungkit masa lalu
- Hati individu yang menarik terurus apabila dapat memaafkan kesalahan orang lain yang lepas. Ataupun sekiranya dia membantu seseorang, maka diaa senyap tanpa orang lain tahu peristiwa yang sebenar. Belajar menerima kesalahan orang lain dan membuka lembaran baru.

7. Hati-hati dengan marah
- Marah yang tidak terkawal dapat merosakkan perhubungan. Sudah tiba masanya kita melatih diri menahan diri daripada marah. Saidina Ali berkata "Kekuatan yang sebenar adalah kekuatan menahan diri daripada marah"

Nota CikSkaf: Moga kita menjadi individu yang sentiasa memastikan hati kita tetap dalam keadaan *sihat dan hidup. Kesihatan tubuh badan hanya menjamin kebahagiaan di dunia sahaja, sedangkan kesihatan jiwa, akan menentukan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat juga.

* Semua jenis kebaikan dan ketaatan merupakan makanan bagi hati.

Baca selengkapnya ...

Thursday, June 18, 2009

7 SUNNAH RASULULLAH

Artikel di petik dari laman web www.iLuvislam.com (Semua tulisan yang di "italic"kan itu hanyalah ulasan peribadi saya)

Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:

Pertama: TAHAJJUD, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

(Andai tidak berkemampuan untuk tidur-bangun-tidur bagi mengerjakan tahajud pada waktu2 mustajab 3.00 pagi, kita mungkin boleh cuba displinkan diri bangun awal 1-2 jam sebelum subuh. InsyaAllah dengan itu kita mempu melakukan amalan qiamulail ini setiap hari tanpa rasa terlalu membebankan diri)

Kedua: MEMBACA AL-QUR’AN sebelum terbit matahari. Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman. (Bukan sahaja selepas subuh, tetapi sebaik2nya selepas tiap2 solat fardhu. Apakata kita cuba jadikan pembacaan Al-Quran sebagai habit dan amalan-mesti-buat sama seperti wirid dan zikir selepas solat, jika tak sempat sngat, dapat 10 ayat sekali pembacaan pun jadilah)

Ketiga: JANGAN TINGGALKAN MASJID terutama di waktu shubuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan.
(Sebagai wanita kita mungkin tak mampu dan tak juga disunatkan melakukan amalan ini,kan?)

Keempat: jaga SOLAT DHUHA, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.
(Waktu terbaik adalah lebih kurang pukul 10.30 pagi, jadi bagi yang bekerja bolehlah kita ambil peluang sedikit dari waktu minum pagi untuk mengerjakan solat sunat ini)

Kelima: jaga SEDEKAH SETIAP HARI. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.
(Nak sedekah pada siapa ek? selalu tanya mcm tu kan? Ok selain orang susah dan fakir disekeliling kita, kita juga boleh tengok kat paper, hari2 ada orang perlukan bantuan - perlu bank in kan sahaja, kat kedai2 runcit n restoran2 pun ada banyak tabung derma)

Keenam: JAGA WUDHU TERUS MENERUS kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

Ketujuh: amalkan ISTIGHFAR setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah. (dan zikir juga!)

Moga kita sama-sama mampu mendidik diri istiqamah dalam melakukan amalan ini setiap hari. Walaupun kadangkala (selalunya!) nafsu hati dan kemalasan lebih menguasai diri. Bukankah nafsu itu sebenarnya mmg musuh yang paling nyata?

Baca selengkapnya ...