Tuesday, June 23, 2009

JANGAN KOTORI HATI

Artikel di bawah dipetik dari buku "Tip Menjadi Individu Menarik - dalam tajuk Jagalah Hati Jangan Kau Kotori - Dato'Dr Fadzilah Kamsah"

Apabila seseorang itu mempunyai hati yang bersih, maka dia menjadi pusat segala kebaikan di muka bumi ini. Orang yang hatinya bersih, secara automatik memiliki suatu kuasa magnet yang luar biasa. Kata-katanya dapat meyakinkan lawan bicaranya. Sikapnya menunjukkan yang dia sentiasa sedang diawasi oleh Tuhan. Jelas kelihatan padanya hanya redha Tuhan yang diharapkan.

Bergaul dengan cara yang baik adalah bergaul daripada hati ke hati dengan ikhlas.

1. Saya bukan ancaman bagi saudara
- Jadilah individu yang tidak menjadi ancaman kepada orang lain. Rasulullah bersabda " Muslim yang baik itu adalah muslim yang menyelamatkan Muslim lainnya daripada gangguan tangan mahupun lisannya." Dengan hati yang bersih, orang lain berasa aman dan tenang berjumpa dan berurusan dengan kita.

2. Hindarkan menghina
- Hindarkan segala macam sifat yang merendahkan, mengutuk dan menghina dalam bentuk apa pun kepada seseorang, baik peribadinya, bentuk tubuhnya dan lain-lain.

3. Hindarkan memotong percakapan
- Walaupun seseorang itu pandai bercakap dan dia adalah seorang ketua namun ini tidak bermakna dia boleh memotong percakapan orang lain. Mendengar sebenarnya memerlukan komitmen yang lebih daripada bercakap. Cuba latih diri bersabar mendengar. Apabila kita memberikan peluang kepada orang lain bercakap maka kita lebih dihormati.

4. Hindarkan membanding-banding
- Kita biasa membandingkan individu itu dengan individu ini. Ia membawa sakit hati dan kecewa apabila individu tersebut mendengarnya. Dalam organisasi pekerja selalu menyalahkan satu masalah kepada pihak yang satu lagi. Akhirnya mereka hanya sibuk menyalahkan orang lain tanpa benar-benar menyelesaikan masalah itu.

5. Hindarkan merosak kebahagian orang lain
- Merosakkan kebahagian orang lain adalah satu lagi tanda busuk hati. Jgn melihat pembinaan menarik sebagai satu persaingan. Sekiranya rakan kita mendapat jawatan yang lebih tinggi ataupun mendapat anugerah, maka kita raikannya walaupun kita tidak mendapat anugerah yang sama.

6. Jangan mengungkit masa lalu
- Hati individu yang menarik terurus apabila dapat memaafkan kesalahan orang lain yang lepas. Ataupun sekiranya dia membantu seseorang, maka diaa senyap tanpa orang lain tahu peristiwa yang sebenar. Belajar menerima kesalahan orang lain dan membuka lembaran baru.

7. Hati-hati dengan marah
- Marah yang tidak terkawal dapat merosakkan perhubungan. Sudah tiba masanya kita melatih diri menahan diri daripada marah. Saidina Ali berkata "Kekuatan yang sebenar adalah kekuatan menahan diri daripada marah"

Nota CikSkaf: Moga kita menjadi individu yang sentiasa memastikan hati kita tetap dalam keadaan *sihat dan hidup. Kesihatan tubuh badan hanya menjamin kebahagiaan di dunia sahaja, sedangkan kesihatan jiwa, akan menentukan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat juga.

* Semua jenis kebaikan dan ketaatan merupakan makanan bagi hati.

2 comments:

Muhd Suhaily said...

Saya pun sentiasa berharap supaya tidak mengotori hati sendiri dengan sikap dan sifat yg ada dlm diri. Semoga hati sentiasa suci & bersih.

Cik Skaf said...

Muhd Suhaily : Jika ada usaha berterusan untuk sentiasa membersihkan hati sendiri, InsyaAllah, hati sentiasa suci dan bersih. Sama-samalah doa.