Thursday, August 6, 2009

Putihkan Hatimu

Nota Cik Skaf : Ini adalah ringkasan dan pengolahan semula daripada artikel yang ditulis oleh Ustaz Ahmad Lutfi Abd Wahab Al-Linggi berkenaan hati. Moga kita mendapat manfaatnya. Dan dapat mengingatkan diri kita yang sering lupa.

Hati ibarat cermin, sedangkan nafsu seperti asap/wap. Setiap kali asap itu melekat di cermin, cermin itu akan menghitam serta kejernihannya menjadi pudar. Maka hati yang mengenal Allah diibaratkan seperti cermin yang bening dan berkilat kerana setiap hari ia dibersihkan dan digunakan.

Namun Rasulullah SAW bersabda " Hati manusia lebih bergolak daripada kuali yang sedang mendidih di atas api" . Maksudnya - hati manusia mudah berbolak balik. Imannya turun naik. Betapa ramai orang Mukmin yang hatinya kadang-kadang menyatu dengan Allah tetapi sebentar kemudian berpisah. Betapa ramai orang menghabiskan malamnya dengan beribadah kepada Allah, tetapi ketika matahari menyingsing, mereka terlalu sibuk dengan urusan duniawi hingga lupa kepadaNya.

Oleh itu Rasulullah SAW dalam doanya memohon " Wahai yang membolak balikkan hati dan pandangan, teguhkanlah hatiku ini di atas agama dan ketaatan kepada-MU"

Seorang ahli agama berkata " Jika engkau hendak membersihkan dan membuat hatimu kembali menjadi putih serta mengangkat karat yang melekat padanya, maka hendaklah engkau melakukan empat perkara iaitu :-

  • Banyakkan berzikir dan membaca Al-Quran
  • Selalu berdiam dan sedikit berbicara
  • Menyendiri untuk bermunajat kepada Allah
  • Sedikit makan dan minum


Peliharalah cahaya hatimu. Janganlah engkau membuka tatapan mata kecuali untuk menambah ilmu atau hikmah. Perhatikan hatimu baik-baik, sehingga engkau benar-benar mengetahui ke manakah ia ketika engkau solat, membaca al-Quran, berzikir dan berkhalwat. Jika hatimu tidak hadir, maka tangisilah dirimu, taburilah kepalamu dengan tanah, serta berdoalah agar Allah memberimu hati yang khusyuk.

Janganlah engkau menyiram hatimu dengan perbuatan hina seperti mengumpat, membuat fitnah, berkata keji dan kotor, mendengar yang terlarang, melihat kepada yang tidak halal, makan makanan yang haram dan sejenisnya. Ketahuilah bahawa orang yang hatinya sakit kerana maksiat dia tidak akan memakai baju ketakwaan.

Untuk mengubat hati yang sakit ada dua cara. Pertama - dengan melakukan ketaatan. Kedua - dengan menghindari maksiat. Maka sungguh aneh apabila engkau bersolat dan berdoa kepada Allah agar diberi hati yang baik, namun anggota badanmu tidak berhenti dari melakukan dosa dan perbuatan terlarang.

Ketahuilah bahawa hati ini menjadi rosak kerana kurangnya rasa takut dan tiadanya rasa khusyuk terhadap Allah. Maka apabila ingin mengubati hatimu dari kerosakan - jauhilah sesuatu yang syubhat, sentiasa bertaubat dan menyesal atas dosa-dosa yang dilakukan, tinggalkan tempat tidur di sepertiga malam untuk bermunajat kepada Allah, ubahlah kedudukanmu dari jauh dengan Allah kepada ingin mendekati Allah. Berilah makan kepada fakir miskin, biasakan hatimu untuk mengasihi dan mencintai sesama Muslim. Perbanyakkan menangis, sibukkan diri dan lidah dengan berzikir dan beristighfar, teruslah berdoa dan mengharapkan kesucian hati dan cemaskan hati dengan kemurkaanNya. Dengan berterusan begitu mudah-mudahan hatimu akan putih dan sihat."

6 comments:

TerubukMasin said...

Alhamdulillah..dptlh ilmu..tq cik skaf..sekurang2nya beringatlah juga aku sebg hambaNYA..

***cik skaf..aku nie dh kena tag ari ni..dh telanjur poskn kt cik skaf..hehehe..

Faizal Nizam said...

salam cik Skaf.. apa khabar..sudah beberapa hari tidak ke mari. sedikit sibok..

terimakasih dengan entri yang penuh peringatan ini.. saya mengharapakan kebaikan daripadanya..

manusia seperti kita ini memang selalu lupa .. terima kasih atas peringatan.

Faizal Nizam said...

salam cik skaf.. terima kasih memperingatkan perihal update blog :)

baru berkesempatan membuat sedikit quick update :D

Faizal Nizam said...

bagusnya kalau saya dapat putihkan hati.. tp sudah tentu bukan kerja mudah untuk putih kan hati.. sob sob sob..

Razak said...

Assalamualaikum cik skaf...

Terima kasih memperingatkan saya tentang hati.

Untuk mendidik hati, syarat yang paling utama ialah SABAR. Kalau tak sabar, hati tidak dididik. Bila hati tidak dididik, maka akan lebih jauhlah seseorang dari rahmat ALLAH. Bila jauh dari rahmat ALLAH, maka hidupnya akan hilang ketenangan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Cik Skaf said...

TM : Ya, takpe. Dah djawab pun TAG itu.

Faizal : Dah entri sebut pasal malas, tu sebab ingatkan awak jgn malas2 update blog. :)

Razak : Ya, betul tu, kebanyakan kita tahu, cuma kdg2 "terlupa" dan buat2 lupa, jd kita sesama kita salinglah ingat mengingat.