Friday, July 31, 2009

Cahaya Mata!

Nota Cik Skaf : Wah! hari yang sangat bahagia. 2 berita gembira! Sebenarnya salah satu berita gembira itu sudah saya maklumi beberapa minggu yang lalu, namun yang satu lagi baru hari ini saya diberitahu. Jadi hari ini terasa bagaikan rezeki mencurah2 masuk, terasa bintang2 sedang turun ke bumi. Sungguh!

Sekadar nak berkongsi bahagia dengan yang lain, saya ingin mengkhabarkan bahawa - 2 orang adik/ adik ipar saya saya telah disahkan positif mengandung dan dijangka bersalin awal tahun hadapan. Ya.! Keluarga saya akan menerima 2 orang anggota baru tahun hadapan. Syukur padaMu ya Allah. Inilah yang kami tunggu selama bertahun-tahun.

Sudah terasa sepi benar keluarga kami berbanding keluarga saudara-mara yang tinggal berhampiran (hehe). Tapi kini Allah telah makbulkan doa. Bukan seorang, tetapi dua orang permata hati akan lahir. Bestnyaaaa.. seronok sangat..!Akan riuhlah rumah kami dengan tangisan dan gelak ketawa sikecil. Tak sabar2 rasanya menantikan saat2 itu.. Owh owh.. terlebih2 pulak saya mengimajinasi, hehe..mengalahkan bakal ibu bapanya..:) Tapi sungguh! bakal mak long mereka ini memang sangat2 teruja.!

Moga kesihatan jasmani dan rohani kedua-dua bakal ibu terpelihara baik sepanjang kehamilan ini. InsyaAllah.

Baca selengkapnya ...

Tips Wanita Hamil

Nota Cik Skaf: Dan entry ini saya "dedikasikan" untuk kedua-dua orang adik saya (bakal2 ibu itu) dan juga bakal2 ibu yang lain. Eh! utk adik sepupu saya juga (yang tinggal berjiran) yang khabarnya juga sedang mengandung muda. Tahniah Fida!. :)

- Moga dapat diambil sebagai panduan

Amalan Untuk Wanita Hamil/Mengandung
Ketika wanita sedang mengandung, selain amalan wajib, bakal ibu (dan juga bakal ayah) digalakkan melakukan amalan berikut:-

  • Banyakkan Bertaubat
  • Jangan lalai dalam menutup aurat
  • Banyakkan membaca ayat-ayat suci Al-Quran.

- Membaca surah Al-Fatihah dan ayat Kursi

- Membaca surah Al-Taubah hingga akhir

- Membaca surah Yassin

- Membaca surah Yusuf - agar memperolehi anak yang soleh, sihat, cantik dan sempurna.

- Membaca surah Maryam - agar memperolehi anak yang sabar dan taat

- Membaca surah Luqman - agar memperolehi anak yang taat

- Membaca surah An-Nahl, ayat 78

- Membaca surah Al-A’raf, ayat 189

(* Bagi saya - cubalah sedapat2nya menkhatamkan Al-Quran dalam jangkamasa 9 bulan mengandung ini)




Nasihat Untuk Ibu Hamil

  • Berusalah agar selalu berada dalam keadaan sihat dengan memakan makanan bersesuaian

  • Melakukan senaman setiap hari (lebih-lebih lagi waktu menjelang melahirkan - senaman bersesuaian). Cth; berjalan kaki adalah senaman yang paling sesuai untuk wanita hamil tua.
    Lakukan senaman berikut:- Telentang, kemudian, satu-persatu kaki diangkat ke atas. Ini untuk memudahkan kelahiran kelak.

  • Rehat mesti mencukupi dan jangan biarkan diri terlalu letih.

  • Bila mandi, gunakan air suam. Mandi dengan air yg terlalu sejuk ataupun terlalu panas akan mengakibatkan kesan buruk terhadap kesihatan. Jangan mandi berendam terutama pada usia kehamilan 8 bulan ke atas.

  • Pada bulan-bulan terakhir kehamilan, ibu memerlukan ketenangan.

  • Jaga payudara dengan baik, dengan menyapu minyak zaitun atau losyen bersesuaian pada puting susu. Ini dapat mengelakkan terjadinya pecah-pecah pada puting susu terutama jika anda ingin menyusui anak anda kelak.

  • Selalu menjalani pemeriksaan doktor terutamanya kehamilan pertama. Periksa tekanan darah, kesihatan janin dan sebagainya.

  • Dilarang sama sekali meminum alkohol, merokok

  • Jangan menganiaya makhluk sama ada manusia atau binatang

  • Elakkan berhibur di tempat-tempat yang tidak dipandang baik dalam Islam

  • Elakkan diri daripada perasaan marah kerana marah itu sifat tercela

  • Jauhi daripada sifat benci-membenci

  • Hindari daripada sifat dendam, sebaliknya lembutkan hati untuk mudah memaafkan orang lain

  • Hindari daripada perasaan dengki-mendengki dan iri hati

  • Jauhi daripada perasaan cemburu buta terhadap suami. Ini dapat merosakkan keharmonian rumahtangga anda.
    Sumber: Mesra.Net Forum

Baca selengkapnya ...

"Di Malam Sepi"

Nota Cik Skaf :

Salam Jumaat. Pejam celik hari ini sudah 9 Syaaban. Cepat sangat masa berjalan kan?. Rasanya baru sahaja berpuasa sunat menyambut 1 Rejab. Kini kita telah hampir pula dengan Nisfu Syaaban. Bermakna tak sampai sebulan lagi Ramadhan akan muncul. Sudah bersiap2 kah kita untuk menyambut kehadiran bulan yang penuh barakah itu?

Kebiasaan kita memasuki bulan Ramadhan tanpa persiapan awal. Mungkin inilah sebabnya mengapa mutu pencapaian ibadah puasa kita (saya teutamanya) masih di takuk lama - tidak membuahkan peningkatan iman dan takwa.

Tapi moga kali ini, seiring dengan peningkatan usia, kita sama-sama bertekad untuk mengisi minggu2 terakhir sebelum Ramadhan dengan memuhasabah diri - menghitung kelalaian diri dan cuba membuat pembaikan. Mudah-mudahan kita dapat menyambut Ramadhan nanti dengan penuh persediaan dan membawa bersama semangat yang berkobar2 untuk menadah hujan rahmat dan mengumpul sebanyak2 pahala sepanjang bulan tersebut.

"Sujud dan rukukku, tunduk kepadaMu
Menelanjangi segala aib dan dosa
Tanpa aku mengadu, Kau pun tahu
Namun itulah wadah tanda menyerah
Aku hamba Allah,
Aku pasrah aku kalah

Cintaku sekelumit cuma, hampir tiada
Dalam tangisan ku memohon harap
Ya Latif, berilah aku hati yang lain
hati yang lebih yakin
hati yang lunak
hati yang bersih dari cela
hati yang tidak menggilai dunia

Maka dalam rasa malu, takut dan penuh harap
aku memberanikan diri untuk meminta -
Ya Allah! terimalah aku, permudahkanlah aku..
untuk mendekatiMu dan mencintaiMu..
dengan hatiku seluruhnya.."

(310709-3:25pg)

Baca selengkapnya ...

Wednesday, July 29, 2009

Wayang

Nota harian:

Semalam, bercuti lagi. 2 hari "dicuti"kan dari bekerja. Duduk bersantai aje di rumah. Jadi kononnya untuk mengubat hati lara (haha), saya bercadang mau ke cinema menonton wayang. Tetapi selepas bersiap2, semasa memanaskan enjin kereta, baru terfikir, eh! kompleks kan blackout- maknanya dengan panggung2 wayang lah tak bukak! hoho.. pernah terjadi tak dalam sejarah begini? Sungguh memalukan sahaja kompleks ini.

Maka rancangan hendak menonton terpaksa dibatalkan, hendak ke bandar malas pulak rasanya. Lagipun apa cerita menarik di cinema sekarang ya? Dah lama benar saya tak menonton wayang dan tak mengikuti perkembangan filem2 baru yang ditayangkan. Last filem yang saya tonton ialah "Talentime", itupun selepas beberapa bulan tak menjejakkan kaki ke mana2 cinema.

Terasa benar peralihan usia, dah tua saya ini.. dah kurang gemar ke cinema. Sedangkan pada "zaman muda-muda" dulu, seminggu at least sekali mesti menonton filem, samada di TGV KLCC ataupun di Sunway Pyramid. Kadang2 boleh pulak marathon menonton 2 filem terus menerus. Sekarang ini kalau tiada "keperluan mendesak", hendak ke cinema pun malas. Lebih selesa menonton di rumah sahaja.

Berkenaan filem "talentime". Owh! itu rupanya filem terakhir Yasmin Ahmad. Selepas ini tiada lagi. Berharap ada pengganti beliau yang boleh menghasilkan filem2 sebegitu. Antara banyak2 filem yang beliau hasilkan, bagi saya ini yang terbaik. Ini yang paling saya suka (sungguh! 2x saya menonton filem ini di panggung). Ceritanya begitu terkesan di hati. Al-Fatehah buat Allahyarham Yasmin Ahmad.

Baca selengkapnya ...

Monday, July 27, 2009

Memo Cik Skaf

Memo Cik Skaf :

Disebabkan malam ini agak free, maka niat di hati nak tukar2 template blog ni - Guna kaedah cuba jaya. Jadi kalau ada yg rajin kerap berziarah ke blog saya dan melihat asyik berubah2 rupa. Janganlah terperanjat pulak ya. Dan andai pula tergerak hati nak memberi idea - mana yang paling sesuai adalah amat saya alu-alukan.. :-)

Owh satu lagi, Maaf, Lupa sangat2 saya nak inform "sesuatu yang penting" pada teman2 yang mempunyai kedua-dua nombor telefon saya. Line sy ***-***4927 itu dah hampir 2 minggu "tergendala perkhidmatannya". huhu... Telefonnya yang rosak. Mintak diganti baru agaknya tu. Atau mungkin merajuk dgn saya kerana jarang gunakan dia. Ia hanya digunakan untuk membuat dan menerima panggilan sahaja - huhu.. saya masih tak selesa menaip sms guna henfon Sony Ericson la. Tetap juga suka dengan Nokia.

Sekarang telefon Sony itu sedang di hantar servis. So buat masa ini, saya menggunakan satu line sahaja iaitu yang ***-***0695 itu. Harap kengkawan yang nak call atau berkirim msg, hantar ke nombor ini, sehingga maklumat lanjut tentang nombor lama itu diberitahu kemudian.. (eceh !!)

* Mcm poyo plak rasanya bg notis camni kat blog..haha

Baca selengkapnya ...

Sabar Ajelah..

Nota Cik Skaf:

Hari yang menguji kesabaran. Kompleks tempat di mana saya mencari rezeki "black-out" atau "tiada bekalan elektrik" atau dengan kata mudahnya - seperti kata mak saya - "takde karen". Bukan sejam dua, tapi seharian - dari pagi hingga ke malam! "Semua premis di dalam kompleks wajib ditutup dan hanya boleh beroperasi seperti biasa pada esok hari" Ini arahan pihak pengurusan. Agak lawak dan pelikkan sebuah kompleks membeli belah ditutup seharian kerana ketiadaan bekalan elektrik. Rumit sangat ke pendawaian elektrik di dalam kompleks ini sehingga mengambil masa 24 jam untuk dibaik pulih?

Bagi mereka yang bekerja makan gaji, mungkin ini suatu kelegaan - boleh balik awal dan bersantai di rumah. Namun bagi saya yang mengharapkan "gaji harian" ini, ini adalah antara dugaan musibah yang perlu saya tempuh. Tiada bekalan elektrik, bermakna premis saya tak boleh berjalan, tak beroperasi dan tak berfungsi (langsung!), bila tidak berfungsi maknanya tiada jualan - tiada duit masuk dan tiada pendapatan untuk hari ini, namun ada beberapa kos tetap lain yang masih perlu saya tanggung...!

Namun apa daya saya, jika sudah begini rintangan yang perlu saya tempuh, saya perlu kuatkan hati dan terima dengan penuh kesabaran ajelah. Takkan hendak menangis sepanjang hari pulak kan..(haha), keadaan tetap begini juga. Tentu ada hikmah disebalik setiap kejadian yang berlaku. Bukankah kehidupan memang begini. Pelbagai dugaan datang bersilih ganti. Jika kita tak mampu bertahan dan bersabar, apa lagi yang boleh kita lakukan? Adakah anda mengetahui kaedah lain selain kesabaran dan ketabahan (disamping berdoa dan bersolat) dalam menghadapi persoalan hidup..?

Petikan kata2 hikmah yang boleh dijadikan semangat tatkala dihimpit musibah :-
"Bersabarlah sebagaimana kesabaran orang2 yang yakin akan datangnya pertolongan Allah,
Sesungguhnya kelapangan akan datang setelah kesusahan dan kemudahan akan datang setelah kesulitan. Sesungguhnya juga kesabaran itu lebih memberikan kedamaian daripada kesedihan, dan ketabahan lebih memberikan hal-hal yang positif daripada tangisan"

Baca selengkapnya ...

Sunday, July 26, 2009

Kasih

Ini bukan puisi.. ini luahan rasa. Mungkin.

Berbicara dengan hati sendiri
Terkadang ingin pergi
Namun pabila ku ingat pada janji yang diberi
pada impian yang dibina
pada kasih yang bagaikan tersimpul mati
pada bahagia yang sama rasa...

terantai kaki dan hatiku di sini

Katamu kaukan setia
hingga ke hujung nyawa
demi Tuhan, kasihmu seikhlas jiwa..
Biar badai melanda
hatimu tak berganjak
tetap utuh pada satu cinta..

Dan katamu lagi
Bertahanlah.. bersabarlah.. dan berjuanglah..
untukku, untukmu, untuk bahagia kita..
Owh..terlarut jua aku..

Namun hati tertanya2
mengapa kau masih di situ
apakah yang merantaimu..?


Atau.. akukah sebenarnya yang perlu berkorban rasa..
Mencari Bahagia Dengan Memberi Bahagia?

Nota CikSkaf : ~ Kasih, kuyakinkan diri, jika memang kita dicipta untuk saling memberi bahagia, untuk saling bantu dalam mendidik diri demi mencari cinta Ilahi, maka segalanya akan dipermudahkan juga. Namun jika sebaliknya..saya redha dengan apapun takdir yang menimpa... ~

Baca selengkapnya ...

Saturday, July 25, 2009

Di Mana Bahagia?

Nota Cik Skaf:

Salam. Kadang bila ujian bertimpa2.. hati mengeluh juga. Kenapa diri tak sebahagia orang lain? Sedangkan sebenarnya apabila kita memerhati, menghayati dan duduk bergaul serta mendengar luahan hati orang-orang lain, rupanya mereka pun begitu juga. Begitulah, masing-masing menyangka kehidupan orang lain lebih baik berbanding kehidupan diri sendiri. Dan menyangka orang lain juga jauh lebih bahagia berbanding diri sendiri. "Rumput di seberang sana kelihatan lebih hijau". Mengapa begitu ya? Apa sebenarnya makna bahagia?

Suka saya nak berkongsi dengan yang lain, catatan tentang makna bahagia yang saya baca dalam buku "Satu Rasa Dua Hati" dan "jangan Bersedih". Harap kita sama-sama dapat manfaat daripada artikel ini.

Kebahagiaan adalah satu ketenangan. Ketenangan itu letaknya di hati. hati yang tenang ialah hati yang dapat menghadapi apa jua ujian hidup dengan sebaik-baiknya. Jika yang datang nikmat, hati yang tenang bersyukur. Jika yang datang musibah, hati yang tenang sabar.

Bagaimana hati boleh tenang? Tidak lain.. hanya ingat pada Allah. Rumahtangga yang tenang, ialah bila setiap anggotanya ingatkan Allah. Maksud ingat Allah itu luas. Hati teringat, mulut menyebut, anggota bertindak. Ingatan yang menjunam di lubuk hati, yang terluah pada ucapan lidah dan terlahir dalam bentuk tindakan dan perlakuan.

Bila diuji dengan kekurangan, kemiskinan, kesakitan bahkan kematian, terasa kita layak menerima. Tidak berkeluh kesah. Kata ulama, untuk tidak terasa susah apabila luput sesuatu nikmat, jangan merasa memiliki nikmat itu. Rasakan diri hanya peminjam. Bila nikmat yang bukan milik itu ditarik, hati yang tenang menyerah dan pasrah kepada Allah - pemilik segalanya.

Maha Suci Allah tidak akan menzalimi manusia walaupun ketika Dia menguji hamba-Nya. Hati yang tenang akan berbisik:
"Tuhan.. aku belum nampak akan kebaikan di sebalik kepedihan ini dengan ilmuku yang terbatas. Tapi aku yakin ya Allah, ilmu-Mu maha luas, pasti ada kebaikan yang masih terselindung disebalik musibah ini... yang ketika ini tidak mampu aku fikirkan dan bayangkan"

Maha adil Allah yang tidak meletakkan bahagia pada harta, nanti si miskin terasa diabaikan. Maha adil Allah yang tidak meletakkan bahagia pada kesihatan, kelak yang sakit rasa dipinggirkan. Tetapi Allah meletakkan bahagia pada hati yang tenang, sesuatu yang boleh dimiliki oleh semua orang...

"Terkadang Allah memberikan nikmatNya
berupa dugaan meskipun berat terasa
dan terkadang juga Allah menguji sebahagian orang
dengan memberikan nikmatnya.."

Baca selengkapnya ...

Saya Keliru

Salam. Ini entri pendek.

Sebenarnya saya sedang keliru, pelik dan tertanya2. Mungkin tidak pada orang lain, tetapi ya bagi saya. Baru sebentar tadi saya tertonton sebuah drama di TV2, tajuknya "Tentangan Dendam". Saya fikirkan ia adalah drama Mandarin kerana majoriti pelakon adalah pelakon berbangsa Cina. Tapi jgn kata nak dgr dailog Mandarin, dailog English pun takde!. Semua dailog adalah dalam bahasa Melayu. Agak mengkagumkan juga.. ! huhu.. Cuma mcm ada rasa sikit2 pelik bila 2-3 orang bangsa Cina bercakap Melayu 100% - bukan budaya di Malaysia pun kan? Sebenarnya ini kali kedua saya lihat "Drama Melayu" sepenuhnya yang dilakonkan oleh pelakon berbangsa Cina sepenuhnya.

Anda pelik tak? kagum tak? saya kagum .. hehe.. Betulll..! Pandai betul org2 buat marketing ek? Satu usaha murni yang cukup baik. Hurmm..

*Walau bagaimanapun saya fikir andai drama tersebut menggunakan dailog mandarin, mungkin lagi ramai yg menontonnya... hehe*

Baca selengkapnya ...

Wednesday, July 22, 2009

30 Petanda Curang

Nota Cik Skaf : (Wah! cerita ttg curang lagi kita!)

Cinta membuat kita ketawa bahagia, cinta jugalah yang selalu buat kita merana. Kecurangan pasangan menjadi racun rumahtangga, yang boleh meruntuhkan istana bahagia dan meranapkan impian indah yang dicita-citakan. Wanita sebenarnya boleh menelah tindak tanduk lelaki, ia umpama isyarat atau petanda jikalau berlaku kecurangan. Harap dengan petanda2 ini, wanita/isteri cepat bertindak - berbincang dan memperbetulkan mana yang tak betul (samada dari pihak isteri sendiri atau suami), moga kecurangan itu tidak akan berterusan dan boleh dicegah sebelum ia benar-benar dah terlambat.

Dia mungkin curang apabila:-

  1. Ketika bersama-sama anda, dia resah gelisah, anak mata tak lekang daripada memandang jam tangan.

  2. Mudah tersinggung dan berkecil hati walaupun perkara remeh.

  3. Tidak membenarkan anda membelek2 telefon bimbitnya.

  4. Kesilapan kecil anda amat sukar dilupakan.

  5. Sentiasa mengungkit kisah silam anda.

  6. Sentiasa menjauhkan dari anda diari atau dompetnya.

  7. Kerap menerima panggilan telefon secara berahsia.

  8. Mematikan telefon bimbit ketika bersama anda.

  9. Kerap mengeluh penat dan sibuk tetapi segar apabila menghadap komputer dan membuka e-mel atau berchatting.

  10. Kerap tersasul dan tidak menumpukan perhatian terhadap perbualan anda.

  11. Sering meminta anda mengulangi cerita yang sedang anda bualkan.

  12. Mengambil cuti panjang tanpa memberitahu anda.

  13. Selama ini tiada hobi yang tetap tetapi tiba-tiba menjadi begitu taksub atau gila pada hobi barunya. Sentiasa menghabiskan masa demi hobi baru.

  14. Tiada lagi kemesraan, berjalan tidak lagi seiring dan selangkah.

  15. Lebih seronok membaca akhbar semalam dan berulang-ulang membacanya daripada berbual dengan anda.

  16. Menghabiskan masa bergolek-golek di atas katil atau terlentang di sofa walaupun mata sebenarnya tidak mengantuk.

  17. Hidupnya tiba-tiba sentiasa dipenuhi mesyuarat tergembar dan kerja luar daerah.

  18. Tiba-tiba berminat menjaga penampilan diri.

  19. Pada waktu pagi mengambil masa agak lama menentukan padanan seluar dan kemejanya.

  20. Tidak berminat menikmati masakan anda, selalu beralasan kenyang atau sudah makan.

  21. Tiba-tiba sahaja menghafal lirik lagu Siti Nurhaliza atau Misha Omar - mendengar lagu cinta dengan penuh minat di dalam kereta sehingga tidak menoleh kepada anda yang ada di sebelah.

  22. Sentiasa memastikan kereta bersih dan kemas. Tanpa disuruh mengeluarkan barangan anda.

  23. Mula mengomel apabila anda meninggalkan tisu kotor atau ada helaian rambut gugur terlekat pada kerusi kereta.

  24. Mula menegur bau peluh anda memeningkan kepalanya.

  25. Tidak membawa anda pada hari keluarga pejabatnya.

  26. Sentiasa menegaskan falsafah hidupnya " Awak orang perempuan, apa awak tahu fasal kerja saya!"

  27. Sama ada malam atau hari Sabtu dia mengaku bekerja tetapi gayanya amat santai. Sekadar berkemeja T lengan pendek.

  28. Jikalau tidur dia memalingkan muka, membelakangkan anda.

  29. Anda membuat kejutan, meraikan ulang tahun perkahwinan. Dia tidak memberi sebarang reaksi. Dengan nada mendatar dia mengulas " Alah.. dah tua..apa nak celebrate? Buang duit!"

  30. Tidak pernah memberitahu anda berapa sebenar gajinya apalagi untuk memberitahu hal dia mendapat bonus tahunan.

Dah semak? Adakah petanda itu sudah terdapat pada pasangan anda? Tak ada? Alhamdulillah. Hati dan cintanya masih setia pada anda. Tetapi jika ada. Hati-hati, namun jangan panik, cubalah selidik diri kita sendiri dahulu (sebelum cuba menyelidiki kecurangannya itu), selidik di mana kekurangan/ kesilapan/ kelemahan yang kita tak sedari sebelum ini sehingga dia boleh beralih rasa. Kemudian berubahlah. Bukankah lebih mudah mengubah perlakuan diri sendiri daripada cuba mengubah orang lain? Good Luck! :)


Baca selengkapnya ...

Monday, July 20, 2009

Mengapa Curang?

Nota Cik Skaf :

Sekarang ini di mana-mana pun topik yang selalu diperbualkan oleh wanita pabila berkumpul adalah topik kecurangan, terutama kecurangan seorang lelaki yang telah bergelar suami, tak kiralah sama ada lelaki itu artis, selebriti, bos, rakan sekerja, jiran, adik beradik, ipar duai mahupun suami sendiri...! yang penting tetap juga cerita yang sama, kecurangan mereka dan pelbagai kisah mereka bagaimana mereka mendua atau mentigakan cinta... Hoho..! sungguh ngeri dan menakutkan.

Memang beginikah yang akan berlaku? Ya.. memang! jawab wanita2 ini. Kalau suami dapat setia 5-10 tahun, alhamdulillah. Tapi kemungkinan tahun kesebelas, kesetiaan akan goyang, mula nak menggatal dan berlaku curang. Owh! Benarkah semuanya begitu? Mengapa? Apa yang dicari? Apa yang kurang pada isteri? Jika pun ada kekurangannya, tidak bolehkah sang suami menegur dengan berhemah, mengajar, mendidik, dan sama-sama memperbaiki mana-mana kekurangan yang ada?. Awakpun bukannya perfect sangat. Jadi sama-samalah memperbaiki diri dan hubungan. Sama-sama saling bekerjasama untuk mempertahankan ikatan perkahwinan. Kenapa mesti satu pihak sahaja yang perlu berusaha keras? Sedangkan satu pihak lagi, pantang sahaja ternampak ruang-ruang untuk menduakan pasangan, mudah sahaja berlaku curang. Mengapa tergamak begitu?

Bukankah seorang isteri itu, adalah perempuan yang awak sendiri pilih? Tidak atas paksaan sesiapa. Bukankah sebelum ini awak telah pun memperhati, menelek dan menilai perlakuan-perlakuan dia sebelum awak memegang tangan tok kadi? Dan awak juga telah meyakini dialah yang terbaik untuk awak. Bukankah begitu? Adakah awak telah tersalah pilih? Bagaimana boleh tersalah? mengapa tidak memilih betul2, mengapa melihat pada satu sisi sahaja? Mengapa lihat kepada sisi baiknya sahaja, mengapa tak dinilai juga sisi buruk dia, dan kemudiannya bersoal jawab dengan hati sendiri samada awak masih sanggup atau tidak beristerikan perempuan itu dengan satu pakejnya - memiliki dia dengan segala kebaikan dan keburukan yang dia ada. Dan jika telah berkata sanggup, mengapa mencabuli janji pada diri sendiri?

Owh! Sangat kurangkah lelaki jujur, lelaki yang boleh setia dan cinta dengan hanya seorang perempuan sahaja (dari segi zahir dan hatinya), hingga ke akhir hayat tanpa memikirkan untuk menyayangi perempuan lain? susah sangat ke nak berjumpa? Atau memang telah tiada - telah pupus? atau memang tak pernah ada?
Terlalu menyakitkan sebenarnya kenyataan ini, bukan sahaja bagi lelaki yang mendengar, tetapi bagi perempuan juga. Seakan takut menghadapi hari muka. Terkadang membisik pada diri .. agaknya biarlah sendirian, hidup selamanya mencintai Allah dan Rasul sahaja tanpa ada seseorang lelaki yang bergelar suami, ini mungkin jauh lebih membahagiakan. Daripada berdua tapi selalu makan hati, menjeruk rasa, merana diri dan menderita . Bukankah hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan menangis sahaja, bermula dari menjadi kekasih, kepada menjadi tunang, kemudian menjadi isteri, kemudian menjadi ibu, sehinggalah sampai telah bergelar nenek, masih juga masalah utama wanita - adalah lelaki yang bergelar suami mereka!. Dan yang paling membimbangkan jika selama ini disangkakan perkahwinan medium bg mengumpul pahala, tapi rupanya hanya menghimpun dosa semata2. Owh! alangkah sia-sianya usia.

Panjang benar pembukaan entry saya kali ini. Sepatutnya saya mencatat 30 tanda suami/teman lelaki curang. Tetapi nampaknya tajuk tersebut akan menjadi entry berikutnya. Luahan rasa ini bukan lagi pembukaan, ia akan jadi entry penuh utk kali ini.

Saya sebenarnya sedikit terganggu emosi apabila siang tadi, seorang teman mengadu, suami yang ditatang2 bagai minyak yang penuh, selama berbelas tahun hidup bersama, tidak pernah menunjukkan kecurangan, begitu sopan di depan orang tua terutama ibu bapa mertua, rupa-rupanya telah 3 tahun bermain cinta. Cinta itu pula bukan dengan anak dara tetapi isteri orang yang beranak tiga..! Dan isteri orang itu pula ialah adik ipar si suami..atau lebih tepat - adik kepada si isteri..!! Subhanallah..!, Subhanallah..! Memang dunia hampir kiamat. Telah hilangkah maruah diri? Telah hilangkah iman yang sepatutnya menjadi pendinding diri? kemana semuanya pergi? Kenapa terlalu larut dengan nafsu sehingga begitu sekali menjebakkan diri dengan dosa dan maksiat? Di mana akal fikiran? Hingga tak boleh langsung berfikir dengan lebih rasional? Lupa saya memberikan satu lagi "fakta penting" - kedua merpati sejoli ini telah tidur bersama lebih dari 10 kali! Owh tak terkata. Saya Pengsan..!

Ke mana arah cinta seperti itu hendak dibawa? Apa matlamatnya? Keseronokan bagaimana sebenarnya yang dicari? berat kepala memikirkan jawapan. Si perempuan kenapa meletakkan maruah diri sebagai isteri dan ibu sebegitu rendah? Kalaupun terhanyut dengan perasaan cinta, ingatlah dosa pahala. Bayangkanlah wajah anak-anak. Apakah dosa mereka hingga perlu mendapat ibu sebegitu jelek perlakuannya dan sebegitu murah harga dirinya? Jika ibu bapa sendiri tidak boleh lagi menimbang mana yang betul mana yang salah, bagaimana nak mendapat berkat dan hikmah dalam keluarga? Apa pula yang akan jadi pada anak-anak tersebut? Akan cemerlangkah mereka?, akan terdidikah mereka dalam suasana harmoni, berakhlak mulia dan menerapkan dalam diri untuk mencintai ilmu, Allah dan rasul dalam kehidupan seharian mereka?? Kita sama-sama boleh tahu jawapannya.

Maka tepuklah dada tanyalah iman masing2. Jika berterusan begini, ke mana arah tuju generasi akan datang yang hendak kita bawa?


Baca selengkapnya ...

Sunday, July 19, 2009

"Dia: Telah Tiada"

Nota Cik Skaf: Maaf. Agak panjang entry kali ini. Saya ingin menulis suatu kisah tentang jiran saya. Harap anda sudi membaca hingga ke noktah terakhir.

Dia jiran saya. Memang betul-betul jiran, dinding rumah kami bercantum. Blok batu dinding kiri rumahnya merupakan blok dinding kanan rumah saya. Kami tiada jiran lain yang begitu dekat, kerana rumahnya adalah di end lot teres kami, manakala di sebelah kiri rumah saya pula adalah rumah yang tidak berpenghuni. Keterasingan ini menyebabkan kami agak akrab dan mesra, kemesraan yang bagaikan telah bertahun-tahun terjalin. Sedangkan saya baru sahaja berpindah ke sini awal tahun lalu - Mac 2008.

Keakraban ini juga mungkin disebabkan ada banyak persamaan2 kami. Kami berasal dari negeri yang sama - Johor dan kemudiannya berpindah ke sini demi mencari rezeki. Kami hampir sebaya, dan yang paling penting (saya fikir inilah sebab utamanya) ialah kerana kami masing-masing hidup sendirian. Kisah perjalanan hidup kami juga hampir sama. Maka kerana itu, kami serasi untuk saling teman-berteman. Jangan imaginasi yang tidak2 ya... dia juga seorang perempuan.

Disebabkan kesibukan dengan kerja masing-masing maka bukanlah setiap hari kami dapat berjumpa dan bercerita. Maka jika kebetulan tersua muka, kami pergunakan sebaiknya untuk saling menyapa dan bertanya khabar. Jika punya kesempatan di hujung minggu pula, kami saling bertandang ke rumah masing-masing. Sambil makan2 di sofa dan menonton TV, kami bercerita - pelbagai perkara. Selalunya tentang masa lalu kami, impian-impian dalam hidup dan apa cita-cita kami yang belum terlaksana. Manakala cerita-cerita duka dahulu menjadi bahan ketawa kami sahaja.

Tetapi itu dahulu, cerita tahun lalu. Bermula akhir Disember yang lepas, saya kerap melihat dia tidak sihat, demam dan selalu benar mengambil MC. Suatu hari di bulan yang sama, dia memberitahu saya - dia baru selesai membuat pemeriksaan di hospital pakar dan doktor mengesahkan dia mempunyai ketumbuhan di pangkal rahim! Saya terkejut. Terdiam. Cuba menahan diri, tapi tatkala melihat dia tersedu, saya turut tersedu. Kami menangis. Saya memberi semangat dan kekuatan kepada dia. "Buatlah pembedahan membuang ketumbuhan itu. InsyaAllah awak akan sihat seperti dulu. Dugaan ini dari Allah. Untuk menguji kekuatan dan keimanan awak, tanda kasih Dia pada awak". Saya berdoa dia akan tabah menempuhnya dan redha menghadapi dugaan berat ini.

Feb 2009 - Dia selamat menjalani pembedahan. Alhamdulillah segalanya telah selesai. Awal-minggu pertama selepas pembedahan itu, Saya lihat dia telah kembali sihat dan boleh menjalankan kerja-kerjanya seperti biasa. Selepas itu, entah mengapa kami jarang dapat bersua muka. Disebabkan tidak bersua muka dan cuma sesekali bertanya khabar via sms, maka saya beranggapan dia telahpun sihat sepenuhnya.

April 2009 - Telah seminggu saya melihat keretanya tidak bergerak. Mungkin dia mengambil cuti panjang, namun bayang dirinya tidak pula kelihatan. Suatu hari, bersama pembantu, saya menyempatkan diri datang bertandang. Dan alangkah terperanjatnya kami! Keadaan dirinya sangat berbeza. Dia sgt kurus dan cengkung. Wajahnya pucat, matanya tak lagi bersinar. Kami bersalaman dan berpelukan, terasa bahang panas badannya menjalar masuk ke dalam tubuh saya. "Apa telah berlaku? kenapa tidak beritahu saya apa-apa pun? Saya sangkakan awak sihat, kenapa sembunyikan daripada saya?". Dia tersenyum cuma, katanya tidak mahu menyusahkan hati saya dan melihat saya sedih. Oh Tuhan, tapi apa daya saya, dengan melihat keadaannya begitu, bagaimana saya dapat menahan air mata?
"Mengapa begini cepat sel kanser membesar di dalam tubuh? Kenapa sel-sel itu begitu kejam "memakan" dirinya sehingga menjelmakan dia sebegini rupa?" Namun kata-kata itu cuma berlegar2 di fikiran saya.

Awal Julai 2009 - Suatu petang, sewaktu saya menziarahinya, dia menyatakan dia akan dibawa pulang ke Johor pada keesokan hari , dia akan dijaga oleh keluarganya di sana dan akan dirawat di hospital JB sahaja. "Itulah yang terbaik bagi awak, tinggallah di sana bersama family dalam waktu rawatan ini". Dan semasa saya bersalaman sebelum keluar rumah, dia sempat berbisik, menyatakan keinginan untuk makan bubur nasi, ayam dan kentang goreng daripada kedai saya. Saya berjanji akan membawa makanan itu waktu pulang nanti. Di dalam fikiran, saya telah mengatur untuk menyuruh seorang staf menghantar makanan itu ke rumahnya secepat mungkin.

Namun ketika sampai di restoran, saya benar-benar terlupa. Sehinggalah pada malam hari sewaktu premis hendak ditutup, tiba2 saya teringat akan pesanannya itu. MasyaAllah. Hampir menjerit saya! marah dengan diri sendiri. Namun saya bungkuskan juga bubur nasi, ayam dan kentang goreng untuk dibawa pulang. Setibanya di rumah, seperti diduga, saya cuma dapat berjumpa dan menyerahkan semua makanan itu kepada pembantunya sahaja. Dia telah pun tidur. Tak terkira kesal di hati saya. Sempat saya mengirimkan salam.

Semalam - Sabtu: 18 Julai 2009: 6.00 petang. Janji Allah telah datang. Ketika saya sedang agak sibuk di dalam keriuhan orang ramai. Saya mendapat panggilan telefon dari pembantunya. Sayup di hujung talian saya mendengar suaranya bergetar menahan tangis "Kakak, harap bersabar ya. jangan terperanjat, kak Ana sudah tiada, dia telah meninggal dunia sebentar tadi .........." ............... sunyi, saya tidak mendengar apa-apa lagi. Kaku sebentar. Dunia terhenti seketika. Benarkah? Mengapa begini cepat? Baru beberapa bulan sahaja dia mengetahui penyakitnya. Dia masih muda. Dia seusia saya.! Sedih sayu menikam-nikam perasaan. Oh Tuhan.. Jika inilah terbaik untuknya. Siapalah saya untuk menolak takdir. Saya redha. "Dari Allah Kita Datang, KepadaNya lah Jua Kita Akan Kembali."

Rupanya hari di mana dia ingin makan bubur nasi itu adalah hari terakhir saya dapat berjumpa dan berbual dengannya. Selepas ini tiada lagi. Dia telah pergi. Dengan meninggalkan kenangan dan impian hidupnya kepada saya.
Inilah janji yang telah Allah tetapkan. Kematian Pasti Datang. Dan kita sebagai makhluknya langsung tiada kudrat untuk mengetahui bilakah masanya, apatahlagi untuk mengelakkan diri daripadanya. Semalam, adalah giliran dia, giliran saya akan tiba juga suatu hari nanti, di suatu masa yang saya sendiri tak tahu bila. Adakah malaikat maut akan datang menjemput ketika usia tua nanti atau dalam usia2 sebegini..?. Sesungguhnya itu adalah rahsia Allah, tak siapa pun akan tahu. Dan jika datangnya dalam usia2 sebegini, apakah yang saya ada sebagai bekalan untuk dibawa ke sana? Ohhh.. Saya benar-benar menginsafi diri.

Mohon pada Mu Ya Allah, moga sewaktu saya (dan kita semua) kembali kepadaMu nanti, kita telah dapat menyiapkan diri dengan bekalan secukupnya dan membawa bersama iman dan cinta yang tak bertepi untuk Mu yang Maha Pencipta.

"Rohana - Ya. Dia jiran dan sahabat saya dan dia telah kembali mengadap Ilahi mendahului saya. Beginilah pengakhiran persahabatan kami di dunia ini."

Al-Fatihah untuk Arwah Rohana. Moga rohnya dicucuri rahmat
dan ditempatkan di kalangan orang-orang soleh.

Baca selengkapnya ...

Tidur Yang Sihat

Nota Cik Skaf: Salam, sewaktu menaip entry ini, jam dah menunjukkan pukul 1.15 pagi. Tapi kenapa mata tak mahu lelap? huhu..oh! Mungkin saya teringat2 2 berita "penting" yang saya terima siang tadi (Kedua-duanya akan saya perihalkan kemudian dan post ke dlm blog esok). Sementara tu sempatlah saya membelek2 majalah lama. Terjumpa satu artikel mengenai tidur yang sihat. Tidur yang sihat?? hmmm..Jom kita semak camana nak dapat tidur yang sihat itu?

Waktu tidur adalah waktu seseorang individu merehatkan tubuh dan minda. Orang dewasa memerlukan 7-8 jam waktu tidur setiap malam. Namun ada juga individu mampu melakukan aktiviti seharian dengan baik walaupun hanya tidur 4 jam sehari! (Eh! ni biasa la kan..) Usah risau jika tak dapat tidur malam sekali sekala kerana ia tidak akan menjejaskan kesihatan fizikal dan mental... (huhu.. betul lah.. belum ada orang mati kerana kekurangan tidur).

Namun begitu ada beberapa panduan yang boleh diikuti jika anda mempunyai masalah untuk tidur.
  • Amalkan mandi sebelum masuk tidur, pastikan badan anda sentiasa segar. Badan yang segar mengundang tidur yang lena.

  • Cuba biasakan diri masuk tidur dan bangun pada masa yang sama setiap hari.

  • Pastikan tempat tidur dan bilik selesa. Tidak panas dan tidak bising.

  • Sebelum tidur, cubalah lakukan senaman ringan. Ini bertujuan melancarkan perjalanan darah.

  • Lebih banyakkan rilex/merehatkan diri sebelum tidur - contohnya dengan membaca atau mendengar muzik yang lembut/instrumental.

  • Fikiran kusut sudah tentu mengganggu waktu tidur anda. Jika ada masalah yang tidak dapat diselesaikan, cuba tulis dalam buku catatan (luahkan peristiwa yang membelenggu fikiran) dan beritahu diri sendiri: Masalah akan boleh diselesaikan pada esok hari.

  • Jika memang tidak boleh tidur dan rasa tidak mengantuk, jangan berbaring, sebaliknya cuba lakukan aktiviti seperti membaca, menonton TV atau mendengar muzik.

  • Buka sedikit tingkap agar udara dari dalam dan luar masuk atau berkitar dengan baik.

Tips:

  • Jika anda tidak dapat tidur semalaman, JANGAN cuba terus tidur waktu siang pada esok hari. Ia boleh mengakibatkan anda sukar tidur pada malam berikutnya. Jika terlalu letih cuba tidur lebih awal.

  • Jangan makan dan minum dengan banyak bila larut malam. Perut yang terlampau kenyang akan menyulitkan tidur anda.

  • Elakkkan daripada mengambil minuman seperti teh, kopi atau minuman berkarbonat kerana ianya boleh menyukarkan tidur anda.

Inilah dia amalan-amalan bagi mendapatkan tidur yang sihat... :)

Nota Cik Skaf: Selain daripada panduan dan tips di atas, kaedah yang saya amalkan (dan saya pasti ia juga diamalkan oleh sebahagian besar dari kita)ialah :

  • Berwudhuk sebelum tidur
  • Membaca Al-fatihah, Ayat Qursi, 3 Qul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nass)
  • Mengucap 2 kalimah syahadat
  • Membaca doa tidur
  • Bercakap/berdoa menyatakan impian2 saya dalam hidup di dunia dan akhirat
  • Tutup mata -> membaca istighfar di dalam hati sehingga terlelap.

* Bagi yang ada teman di sebelah, sebelum lelapkan mata, berilah salam pada teman setiduran.. Bagi saya pula, selalunya saya akan amalkan perkara di atas selepas saya memastikan saya telahpun menamatkan "bual bicara" via sms dengan teman2 (teman-teman?? huhu..).


Baca selengkapnya ...

Saturday, July 18, 2009

Jangan Emosi ok!

Rasulullah bersabda:
"Sesungguhnya aku membenci dua suara yang dungu dan buruk, iaitu ketika sedang mendapatkan nikmat (mereka bersukaria) dan suara ketika tertimpa musibah
(mereka meratap dan memaki)"

Salam semua. Entry kali ini nak menyentuh sikit tentang emosi manusia. Terutama perempuan yang selalu dikatakan mudah "emosional" ini. Emosi dan perasaan seseorang akan bergolak disebabkan dua perkara iaitu ketika kegembiraan yang memuncak dan ketika ditimpa musibah yang berat. Ketika mendapat kegembiraan manusia biasanya akan merasa tersangat gembira dan terasa aman bahagia. Namun ketika dilanda musibah, mudah pula hanyut dilanda kekecewaan dan kesedihan yang melampau. Begitu juga dalam keadaan tertekan dan membenci sesuatu, maka biasanya akan wujud kemarahan yang berapi-api dalam diri.

Sesungguhnya emosi yang tidak boleh dikendalikan dengan baik itu hanya akan meletihkan, menyakitkan dan meresahkan diri sendiri. Sebab ketika seseorang sedang marah misalnya, jika kemarahannya itu meluap2 hingga tak terkawal, maka itu akan membuat seluruh tubuhnya gementar, mulutnya pula akan mudah memaki sesiapa sahaja, seluruh isi hatinya tertumpah ruah, dan dia akan cenderung bertindak mengikut nafsu amarahnya. Hilanglah sebahagian akalnya. Namun sekiranya dia mengalami kegembiraan pula, dia menikmatinya secara berlebihan, berbangga diri, sombong dan mudah pula lupa diri.

Ada pula sesetengah manusia ketika sedang bermusuh dengan seseorang, dia cenderung mengherdik dan mencelanya, seperti tiada langsung kebaikan yang dilakukan oleh orang yang tak sukainya itu, dan seolah2 pula nilai dirinya lebih mulia berbanding orang yang dicelanya itu. Namun apabila dia menyukai seseorang yang lain pula, dia begitu taksub. Langsung tak menilai kekurangannya, malah orang itu akan terus dipuja dan disanjung seolah tiada cacat celanya.

Begitulah juga dengan orang yang sentiasa meratap hiba dengan musibah yang melanda diri mereka. Mereka seolah-olah tidak redha dengan takdir yang telah ditetapkan. Sedangkan ahli hikmah pernah berkata bahawa rasa sedih yang melampau-lampau itu datangnya dari syaitan, dan kesedihan itu adalah rasa putus asa yang menyakitkan

Emosi yang pelbagai adalah perasaan yang boleh dikawal jika kita mahu mengawalnya. Jika kita tidak mahu marah maka kita tidak akan marah. Jika kita tidak membiarkan diri kita larut dalam kesedihan yang melampau maka kita tidak akan sedih.

Oleh itu sebagai manusia (saya juga berpesan pada diri sendiri), kita yang bukan sahaja punya akal, tetapi juga yang mengaku punya iman ini, cubalah didik diri untuk boleh mengawal emosi sendiri, agar terkendali hati dan akal kita. Moga dengan kesederhanaan dan ketenangan kita dalam berhadapan dengan apa jua setuasi akan memudahkan mata hati kita melihat kebenaran, mengetahui petunjuk dan memutuskan sesuatu perkara dengan seadilnya.

Doa Rasullullah yang boleh kita sama-sama amalkan "ya Allah Aku memohon kepadaMu agar aku selalu mampu bersikap sederhana, baik ketika berdukacita, marah mahupun ketika gembira"

Baca selengkapnya ...

Friday, July 17, 2009

Bisik2 Yang Mengguris Hati

Nota Cik Skaf : Suatu kejadian yang tidak begitu menarik untuk diceritakan telah berlaku di tempat kerja siang tadi. Puncanya kerana salah faham. Seseorang telah berbisik2 dengan seseorang yang lain. Dan ketika itu terdapat seseorang yang lain juga berada di tempat yang sama. Seseorang yg ketiga itu telah menyangkakan mereka berdua sedang mengata dirinya.. Maka berlaku sedikit kekecohan kerana itu. Nasib baik kekecohan ini dapat dileraikan dengan cepat oleh "seseorang" yang lain pula. Jika tidak mungkin membawa kepada pertengkaran dan permusuhan yang berpanjangan. Stop. Kejadian ini mengingatkan saya kepada satu hadis Rasulullah.

Telah bersabda Rasulullah s.a.w:
"Apabila kamu bertiga, maka janganlah berbisik-bisik dua orang tanpa sahabat mereka (orang yang ketiga), kerana sesungguhnya perbuatan yang demikian itu menyedihkan (menyakiti dirinya/mengguris jiwa dan perasaannya)"


Pengajaran Hadis:

  1. Dalam pergaulan dan komunikasi, ada adab2 yang perlu dijaga. Percakapan dan tindakan kita janganlah sampai mengguris hati dan menyakiti perasaan orang lain. Sebagaimana kita mahu perasaan kita dijaga, maka begitulah kita menjaga perasaan orang lain.

  2. Ajaran Islam yang suci punyai kaedah bagaimana menghalang sifat-sifat yang buruk (mazmumah) daripada mengotori hati umatnya. Demikian juga segala penyebab yang boleh mencetuskan sifat-sifat buruk itu; dari awal lagi dicantas agar ia langsung tidak berputik.

  3. Hadis di atas juga menjelaskan haram hukumnya dua orang Islam berbisik-bisik di hadapan saudara seagamanya yang lain, walaupun perkara yang dibisikkan itu langsung tidak ada kena mengena dengan orang ketiga tadi. Ini kerana perbuatan berbisik-bisik di hadapan orang ketiga itu boleh menimbulkan rasa curiga , tidak sedap hati, syak wasangka dan buruk sangka pula di dalam hatinya. "Ha, diaorang ni mengata aku lah tu..", "Diaorang ni tak nak kawan dengan aku ke?". Itu semua bayangan syak wasangkanya. Inilah natijah-natijah buruk yang tidak disukai oleh Islam.

Lihatlah bagaimana Islam mengatur perkara-perkara ini. Islam bukan sahaja agama yang mengatur tatacara hubungan hamba (manusia) dengan khaliqnya, bahkan mengatur juga tatacara bagaimana hubungan menusia dengan sesama manusia juga. Di sinilah terletaknya keindahan Islam.

Baca selengkapnya ...

Thursday, July 16, 2009

Penampilan Muslimah Sejati

Apakah yang menentukan imej atau keperibadian seseorang? Ada yang mengatakan cara berpakaian dan bergaul dengan orang lain mencerminkan keperibadian seseorang. Dan ramai juga yang menyatakan penampilan diri lah yang akan menyerlahkan kepribadian seseorang. Jadi sebagai seorang wanita Islam bagaimanakah penampilan diri yang sepatutnya bagi menyerlahkan kepribadian seorang muslimah sejati?

Ustazah Siti Nor Bahyah dalam satu ceramahnya berkata, 4"P" mesti ada dalam diri seorang muslimah untuk menampilkan diri sebagai muslimah solehah yang berktrampilan. 4"P" tersebut ialah:-

1. PAKAIAN - Wanita solehah mesti menutup aurat sebagaimana yang digariskan oleh syariat. Dan pakaian yang dipakai juga hendaklah sesuai, tidak jarang da tidak ketat hingga boleh menampakkan lekuk2 badan.
2. PENAMPILAN - Sentiasa menampilkan diri sebagai sebagai wanita Islam walau di mana pun berada. Sentiasa tunjukkan imej wanita Islam yang tahu menjaga maruah diri.
3. PERCAKAPAN - Percakapan dan tutur kata yang lembut dan bersopan hendaklah sentiasa diamalkan. (Bercakap hanya untuk perkara yang perlu sahaja, jangan membiasakan diri bercakap hal-hal yang remeh dan yang tidak membawa manfaat kepada diri sendiri dan orang2 lain. Kawal diri daripada terlibat dalam "sesi" mengumpat dan memfitnah orang lain.)
4. PERBUATAN - Menjaga perbuatan dan tingkah laku pada setiap masa. Menjaga pandangan - Menundukkan pandangan pada hal-hal yang boleh membawa kemungkaran.

12 Tips Bagi Ketrampilan Diri Wanita Muslimah


Berikut pula saya petik dari artikel Cikgu Bashid mengenai Ketrampilan Diri Wanita. Beliau menyenaraikan 12 Tips Bagi ketrampilan Diri Wanita Mengikut Persepsi Islam.
  1. Serlahkan cahaya keimanan di wajah
  2. Pamerkan akhlak yang terpuji
  3. Dapatkan ilmu pengetahuan untuk jadi wanita yang bijaksana
  4. Berikan senyuman manis dan ikhlas buat suami dan anak-anak
  5. Berhias dan berdandan hanya untuk suami
  6. Meluangkan masa untuk merawat diri
  7. Penuhi hati dengan sifat-sifat terpuji
  8. Sentiasa mencintai majlis-majlis berilmu
  9. Sentiasa bersedia meminta maaf dan memaafkan
  10. Sentiasa bersabar dalam menempuh dugaan hidup
  11. Sentiasa menderma ke jalan kebajikan
  12. Bersifat penyayang kepada keluarga dan masyarakat

Cantik, jelita dan cerdiknya wanita Islam itu ketika di luar rumah apabila mereka berpakaian menutup aurat, menjaga batas pergaulan, berpengetahuan dan berakhlak mulia. Sesungguhnya perintah berpakaian menutup aurat dan menjaga akhlak adalah untuk menyedarkan wanita Islam bahawa mereka adalah wanita yang mempunyai iman dan membezakan mereka dengan wanita musyrik.


Baca selengkapnya ...

Wednesday, July 15, 2009

Rahsia Kulit Cantik (1)

Nota Cik Skaf: Salam, hari ni nak post entry tentang kecantikan pulak. Wanita dan kecantikan mana boleh dipisahkan...ye tak. Namun kadang-kadang kita melebihkan merawat kecantikan wajah sahaja, sedangkan kulit badan tidak diambil endah. Kita patut sedar bahawa keadaan kesihatan kulit mencerminkan keadaan kesihatan tubuh badan kita. Oleh itu seperti juga kulit wajah, kesihatan kulit badan juga seharusnya dijaga sejak awal lagi.

4 LANGKAH MERAWAT KULIT

1. MELULUR
- biasanya dilakukan 1-2 x seminggu
- Melulur ni dilakukan untuk menanggalkan sel-sel kulit mati pada permukaan kulit & juga bagi mencegah kekeringan kulit.

2. PEMBERSIH TUBUH
- Ini shower foam la kan. Ia diperlukan untuk menghilangkan kekotoran dan peluh yang melekat di tubuh sepanjang hari.
- Pilihlah sabun yang mempunyai pH neutral supaya kelembapan kulit terjaga.
- Gunakan sabun yang dari jenis gel atau susu

3. PELEMBAP
- Penyapuan pelembab adalah digalakkan selepas mandi - ini kerana pada saat itu kulit tubuh dapat menyerap pelembab dengan lebih baik. (Tapi ini yang selalu diabaikan - kalau sapu pun pada bahagian tangan sajakan? huhu..Jgn begitu.. jgn malas merawat tubuh sendiri)
- Sekiranya anda sering berada dalam bilik berhawa dingin - sapukan pelembab setiap 2 jam sekali bagi mencegah kekeringan dan dehidrasi.
- Berikan tumpuan pada kulit kaki anda kerana ia lebih mudah menjadi kering dan merekah.

4. NUTRIEN YANG BAIK
- Makan buah-buahan dan sayuran segar yang mengandungi vitamin A, C dan E sangat baik untuk menjaga kemulusan kulit. Vit A (cth: bayam) - mencegah kekeringan kulit, manakala C (cth: buah oren) & E (cth:kekacang) terkenal kerana khasiat antioksidannya.

(Jika mampu, lakukan rawatan spa sebulan sekali untuk merawat wajah, melulur, mandi susu, urutan dan sebagainya untuk mengembalikan kesegaran tubuh dan mencantikkan kulit. - Bukankah diri anda begitu berharga?)

--------------------------------------------------------------------------------------------


TIP PEROLEHI KULIT SIHAT

1.Banyakkan minum air. Sekurang2nya 8 gelas sehari - Ini bagi mengelakkan dehidrasi/kehilangan lembapan kulit.

2. Bersihkah kulit wajah dan badan sekurang2nya 2x sehari - pagi dan malam sebelum tidur (Jangan lupa selepas itu sapukan penyegar dan pelembab)

3. Lakukan urutan pada wajah di malam hari untuk merangsang peredaran pertukaran sel2 pada kulit.

4. Tukar jenis produk perawatan kulit sesuai dengan jenis kulit dan gaya hidup anda

5. Elakkan sinar matahari terus ke kulit - ini bagi mengelakkan gangguan kulit seperti kedutan, belang, bintik hitam, jerawat dan kanser kulit.
(Tip: Pilih sunblock yg mempunyai SPF 30 atau lebih dan mengandungi perlindungan *UVA dan UVB dalam satu)

6. Jaga pola pemakanan yang sihat, seimbang dan cukup zatnya.

7. Lakukan senaman - apabila bersenam, otot2 akan meregang. Ini membuatkan kulit akan tampak sihat. Selulit juga dapat dielakkan dengan senaman yang secukupnya.

* UVA - sinar ultraviolet - adalah sinar matahari yang tidak jatuh terus di permukaan kulit, ia berpotensi menimbulkan kanser kulit.
UVB - sinar ultraviolet dari matahari yang jatuh terus ke permukaan kulit.

(diolah semula dr beberapa artikel dlm majalah RAPI 15 Mei 09)

Baca selengkapnya ...

Nota Rabu 15/07

Nota Cik Skaf : Sudah beberapa hari kereta tersadai tidak dihidupkan enjinnya. Hanya berada di garaj. Tidak ke mana-mana. Jika dia punya rasa dan akal, tentu tertanya2.
Ke mana menghilang? Pause.
Si tuan punya kereta rupanya sedang merehatkan diri di dalam rumah.
Sedang bersantai menonton Tv, melayari internet, membaca buku2
dan mendengar radio. Indah sungguh hidup,
bukan selalu dapat menikmati "kerehatan" seperti ini.
Owh! di corong radio, ada lagu Hattan,
menarik sekali lirik dan melodinya. Begitu mengesankan.
Terlarut skjb dlm perasaan menghayati lagu.
Ingin berkongsi jua dengan yang lain.


Rendang Tak Berbuah
~Sunyi tenggelam terlantar dalam telanjang
Di pintu rindu
Hidup dan mati di sisiku
Sakit yang datang
Menguji kasih dan sayang
Antara merendang semalam
Mungkin takkan berbuah
Hanya meneduhkan namun tidak mengenyangkan
Musafir lalu nan dahaga di jalan panas membara

Begitulah hakikatnya oo
Di mahligai kesakitan
Yang mengundang sahabat saudara jauh dekat
Menghembus nafas pilu
Ibu mengertilah.. aku sengsara
Lemas berendam air mata
Rendang kasihmu dalam gelora
Jadi rebutan selamanya

Berikanlah pengertian waktu ku di hujung jalan
Berbicara bahasa Tuhan yang menaroh penyesalan
Manapun aku berlabuh pastinya untuk disambut
Biarpun tak bersungguh biarlah tak tertangguh
Di telapak kakimu
Sakit kurasakan
Jadi peneman masa semalam yang silam ~

"Tinta pena telah mengering, lembaran2 catatan ketentuan telah disimpan, setiap perkara telah diputuskan dan takdir telah ditetapkan. Maka apa yang membuatkan kita benar tidak akan membuatkan kita salah. Sebaliknya apa yang membuatkan kita salah tidak akan membuat kita benar"

Baca selengkapnya ...

Tuesday, July 14, 2009

"Sesuci Hati" Daun Hijau

Nota Cik Skaf: Satu cerita imaginasi yang bagi saya bukan sekadar cerita. Ia falsafah hidup.
(Artikel di petik dari blog seseorang di negara jiran, saya lupa addressnya kerana ia telah berada dlm simpanan saya sejak beberapa bulan lepas)

Telah dua bulan musim hujan berlalu sehingga dimana-mana pepohonan nampak menghijau. Kelihatan seekor ulat di antara dedaun menghijau yang bergoyang-goyang diterpa angin.

"Apa khabar daun hijau," katanya.

Tersentak daun hijau menoleh ke arah suara yang datang."Oh, kamu ulat. Badanmu kelihatan kurus dan kecil, mengapa?" tanya daun hijau.

"Aku hampir tidak mendapatkan dedaunan untuk makananku. Bolehkah engkau membantuku sahabat?" kata ulat kecil.

"Tentu..tentu..dekatlah kemari." balas daun hijau.

Sementara itu daun hijau berfikir, "jika aku memberikan sedikit dari tubuhku ini untuk makanan si ulat, aku akan tetap hijau. Hanya sahaja aku akan kelihatan berlubang-lubang. Tapi tak mengapalah." daun hijau berbisik sendiri.

Perlahan-lahan ulat menggerakkan tubuhnya menuju daun hijau. Setelah makan dengan kenyang ulat berterimakasih kepada daun hijau yang telah merelakan bahagian tubuhnya menjadi makanan si ulat. Ketika ulat mengucapkan terimakasih kepada sahabat yang penuh kasih dan pengorbanan itu, ada rasa puas di dalam diri daun hijau. Sekalipun tubuhnya kini berlubang di sana-sini namun ia bahagia dapat melakukan sesuatu bagi ulat kecil yang lapar.

Tidak lama berselang ketika musim panas datang daun hijau menjadi kering dan berubah warna. Akhirnya ia jatuh ke tanah, disapu orang dan dibakar...

-------------------------------



Apa yang terlalu bererti di dalam hidup sehingga kita enggan berkorban sedikit sahaja bagi sesama manusia? Nah... akhirnya semua yang ada akan "mati". Daun rela melakukan sesuatu untuk kepentingan pihak lain dan sejenak mengabaikan kepentingan sendiri. Baginya berkorban merupakan sesuatu perkara yang mengesankan dan terasa indah serta memuaskan. Dia bahagia melihat sahabatnya dapat tersenyum kerana pengorbanan yang ia lakukan. Ia juga melakukannya kerana menyedari bahawa ia tidak akan selamanya menjadi “daun hijau” dan memiliki keindahan. Suatu hari ia akan kering dan jatuh juga.

Demikianlah kehidupan kita. Hidup ini hanya sementara, kemudian kita akan mati. Kita akan tinggalkan dunia ini. Itu sebabnya kita perlu mengisi hidup ini dengan perbuatan-perbuatan baik, kasih, pengorbanan,pengertian, kesetiaan, kesabaran dan kerendahan hati.

Yang mana satukah yang sering kita lakukan? Menjadi ulat kecil yang menerima kebaikan orang atau menjadi daun hijau?

Nota Cik Skaf: Rasulullah bersabda " Tidak ada dua perkara yang lebih utama daripada iman kepada Allah s.w.t dan memberi manfaat kepada sesama kaum muslimin, dan tidak ada dua perbuatan yang lebih buruk daripada syirik kepada Allah dan memberi mudarat kepada kaum muslimin"


Baca selengkapnya ...

Monday, July 13, 2009

BIZ (2) : Ujian Personaliti

Kebanyakan individu boleh "mentransformasikan" diri mereka dari seorang pekerja menjadi seorang majikan, tetapi ada ramai juga yang tidak mampu mengubah diri masing-masing. Bagaimana pula dengan anda?

Sebelum anda mengambil keputusan membuka perniagaan sendiri dan meninggalkan kerjaya anda sekarang, jawab dahulu 5 soalan di bawah dengan jujur. Setelah itu nilaikan semula keputusan anda.

1. Adakah anda merupakan seorang individu yang mampu melaksanakan pelbagai jenis tugas berbeza (multitasking) ?

Semasa anda bekerja untuk orang lain (makan gaji), anda hanya bertanggungjawab pada bidang tugas anda sahaja. Tetapi di dalam perniagaan, anda bertanggungjawab sepenuhnya kepada semua perkara. Ya, anda memang dibantu oleh pekerja-pekerja dan ada di antara mereka yang lebih mahir dari anda dalam bidang tugas masing-masing tetapi mereka cuma membantu dan menyokong anda. Ingin diingatkan jika terdapat sebarang masalah yang timbul di dalam perniagaan atau anda dipersoalkan tentang sesuatu perkara, anda TIDAK BOLEH menjawab "Ini bukan tugas saya" - kerana kesemua perkara adalah tugas dan tanggungjawab anda!

2. Bagaimana tahap toleransi anda semasa berdepan dengan risiko?

Pada peringkat permulaan operasi perniagaan, anda akan sentiasa bimbang dan sentiasa ingin mendapatkan maklumbalas samada perniagaan anda berada pada tempat yang betul pada masa yang betul dengan produk/perkhidmatan yang ditawarkan adalah betul untuk sasaran pelanggan yang betul pada harga yang betul ataupun Sebaliknya. Dan andainya anda dapati ada aspek-aspek tertentu yang perlu diubah, adakah anda akan mengubah dengan segera demi mengikut kesesuaian ataupun adakah anda akan bertahan dengan konsep dan idea anda yang telah anda rancangkan selama bertahun-tahun itu, kerana anda meyakini bahawa lambat laun pelanggan akan boleh menerimanya juga? Bagaimana pula reaksi anda ketika berhadapan dengan suatu halangan dalam perniagaan, adakah anda melihatnya sebagai satu ancaman ataupun peluang?

3. Adakah anda sentiasa memikirkan tentang gaji/pendapatan yang anda akan terima setiap bulan?

Sebagai pemilik perniagaan baru anda seharusnya tidak memikirkan gaji anda sebagai perkara utama, apatahlagi mengambil gaji mengikut kehendak hati. Anda dicadangkan untuk mengambil gaji seminimum mungkin, mengikut keperluan bulanan anda sahaja. Ini kerana sebahagian besar hasil perniagaan perlu digunakan balik untuk meneruskan operasi perniagaan. Malah selalunya pada peringkat permulaan, perniagaan memerlukan sumber kewangan yang lebih banyak dari yang anda jangkakan. Maka dalam hal ini, perniagaan perlu diutamakan berbanding diri anda sendiri. (Malah mungkin ada bulan-bulannya yang anda sendiri tidak mempunyai gaji!!). Adakah anda sanggub dan bersedia untuk itu?


4. Adakah anda seorang yang mampu mencetuskan idea sendiri dan mampu "bergerak sendirian" dalam usaha2 anda merealisasikan impian anda?

Atau adakah anda memerlukan orang-orang disekeliling untuk sentiasa menyokong dan memberi dorongan kepada anda?
Di dalam perniagaan anda, anda perlu mengetuai (lead) "pasukan" anda, maka anda perlu mengetahui dan meyakini apa yang perlu dilakukan, bila perlu melakukan dan siapa yang harus melakukan sesuatu tugas itu.
Kesemua tindakan dan operasi perniagaan yang berlaku setiap hari adalah mengikut perancangan serta keputusan yang telah anda buat. Ia mungkin menghasilkan pulangan yang baik tetapi mungkin juga sebaliknya akan berlaku. Walau apapun hasilnya, andalah satu-satunya orang yang perlu bersedia menerima dan memikul bebannya. Setuasi sebeginilah yang kadangkala menyebabkan anda berasa "terlalu sendirian" - seolah2 anda terasing dari orang lain, di mana anda tidak dapat bergantung harap pada sesiapa apatahlagi pada pekerja-pekerja anda, kerana mereka juga bergantung harap pada anda dalam menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul dalam perniagaan.
(hampir menitiskan airmata sewaktu menaip ini.. huhu. Mereka yang telah mengalaminya sahaja yang benar2 memahami maksud saya)

5. Adakah anda seorang individu yang boleh "adapt" dengan pelbagai setuasi dan pelbagai individu?

Apabila anda membuka perniagaan, anda akan berinteraksi dan berurusan dengan pelbagai jenis individu yang mempunyai pelbagai sikap dan kehendak. Anda bukan sahaja perlu berhadapan dengan pelbagai ragam pelanggan tetapi juga perlu berhadapan dengan pelbagai karenah dan sifat pekerja-pekerja, pembekal, pihak bank, "landlord" dan sebagainya. Maka anda seharusnya menjadi seorang yang "berorientasikan-manusia", fleksibel, mudah diajak berbincang dan belajar untuk menjadi tenang, sabar dan memahami orang lain dalam apa jua setuasi. Tanya diri sendiri adakah anda mampu menguruskan konflik dan mampu melihat sesuatu perkara itu daripada kacamata orang lain, lalu mengikut citarasa dan kesesuaian mereka dengan mengenepikan citarasa dan perasaan anda sendiri?

Jawab soalan-soalan di atas dengan jujur. Dan dari situ anda sendiri boleh menilai samada anda telah bersedia untuk membuka perniagaan sendiri ataupun anda berasa lebih selesa dan selamat dengan bekerja makan gaji sahaja.

"Surround yourself with people who are inspirational, insightful, and supportive of you and your business venture. And don't listen to people who say you're too young to be serious about business"

Baca selengkapnya ...

BIZ (1) : Langkah Awal

PENCARIAN MAKLUMAT DAN MEMBUAT PENILAIAN
Sebelum memulakan sesebuah perniagaan, perkara terpenting yang perlu difikirkan adalah mecari sebanyak-banyak maklumat dan membuat penilaian. Jika menceburi bidang perniagaan tanpa mengkaji dan membuat penilaian terlebih dahulu, ini akan menyebabkan pelbagai masalah tak terjangka akan timbul semasa perniagaan dijalankan kelak, malah mungkin membawa kepada penutupan perniagaan dalam masa yang singkat.

+ Maklumat apa? dan Penilaian yang bagaimana?

1- Penilaian Diri Sendiri
  • Pengalaman,Pengetahuan dan Kemahiran - Apa jua bidang perniagaan yang ingin anda ceburi, anda haruslah mempunyai minat terhadap bidang tersebut dan memiliki pengetahuan dan kemahiran tentang produk atau perkhidmatan yang hendak ditawarkan. (Tips: Minat dah ada, tetapi pengetahuan dan kemahiran mana nak dapat? - Anda Ikutilah kursus-kursus keusahawanan dan kursus berkaitan bidang yang dipilih cthnya kursus dobi, kursus membuat kek & roti atau kursus andaman. Sebaik-baiknya anda juga "menjalani latihan praktikal" dengan bekerja di premis perniagaan yang telah wujud untuk merasai sendiri bagaimana operasi harian perniagaan tersebut)
  • Kewangan - Anda harus menilai kemampuan dalam menyumbang modal sendiri. Besar atau kecil perniagaan yang dipilih bergantung kepada modal yang mampu anda laburkan. Maka ukurlah baju di badan sendiri ya.
2- Penilaian Persekitaran
  • Memahami Struktur Penduduk, Pendapatan dan Citarasa - Peluang perniagaan wujud apabila terdapat ruang untuk menawarkan produk atau perkhidmatan yang boleh memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan. Jangan syok sendiri. Walau bagaimana baik pun produk yang anda jual/hasilkan tetapi tidak diperlukan oleh pelanggan maka anda belum dianggap berjaya. Antara perkara yang perlu dikaji ialah struktur dan profil pelanggan sasaran, perubahan citarasa, minat dan kegemaran pelanggan.
  • Dasar Kerajaan dan Perancangan Pembangunan - Cari maklumat samada akan terdapat perubahan dari segi peraturan, polisi kerajaan atau undang-undang dalam tempoh terdekat yang boleh mempengaruhi perniagaan anda nanti. Selain itu buat kajian juga tentang pembangunan yang akan berlaku di sekitar lokasi perniagaan yang anda pilih, ini membolehkan anda membuat perancangan jangka panjang dan memberi harapan bahawa perniagaan anda boleh berkembang.


3- Penilaian Pasaran

  • Sah dari Segi Undang-Undang - Sesuatu peluang perniagaan yang diusahakan tidak seharusnya melanggar peruntukan undang-undang negara. Antaranya ia perlulah mematuhi peruntukan Akta Hakcipta 1987, Akta Paten, Akta Cap Dagangan dan sebagainya.
  • Tahap Persaingan - Sebagai orang baru dalam perniagaan kecil kita seharusnya memasuki bidang perniagaan yang mempunyai tahap persaingan yang rendah
4- Penilaian Kewangan dan Risiko
  • Keperluan Kewangan/Kemampuan Modal - Modal boleh diperolehi dari dua sumber iaitu sumber sendiri dan sumber luaran (pinjaman bank, skim pembiayaan kerajaan - untuk siswazah, wanita, IKS dan usahawan luar bandar, kemudahan kredit dari pembekal, kemudahan sewa beli dan sebagainya). Jenis perniagaan yang hendak anda ceburi dijalankan perlulah bersesuaian dengan sumber pembiayaan tersebut.
  • Risiko - Anda perlu mengkaji tahap risiko terhadap peluang perniagaan yang bakal anda majukan. Risiko merupakan kemungkinan mengalami kerugian. Kebiasaannya perniagaan berisiko tinggi merupakan bidang yang sukar dimasuki dan memerlukan modal yang besar tetapi memberi pulangan yang tinggi, begitu juga sebaliknya. - risiko rendah, mudah dimasuki dan memerlukan modal yang kecil tetapi memberi pulangan yang rendah juga.
5 -Penilaian Daya Maju
  • Menilai Daya Maju dan Daya Tahan - Anda se"wajibnya" menyediakan kertas kerja Rancangan Perniagaan bagi menilai samada peluang perniagaan yang ingin diceburi berdaya maju atau sebaliknya. Penilaian sesuatu peluang perniagaan perlu diasaskan kepada fakta dan maklumat terkini. Jangan malas. Cari maklumat sebanyak-banyaknya samada melalui pembacaan, melayari internet, bertanya kepada mereka yang berpengalaman serta membuat pemantauan sendiri. (Selalu diperingatkan bahawa jika seseorang berhasrat untuk memulakan perniagaan tetapi gagal untuk membuat perancangan, sebenarnya dia merancang kegagalannya sendiri dalam perniagaan tersebut)
Selain daripada penilaian2 yang dinyatakan di atas, anda juga perlu menilai kemampuan diri dari segi ketahanan mental dan fizikal. Seringkali kita hanya melihat kepada pulangan pelaburan modal dalam menilai kesesuaian peluang perniagaan yang dipilih tanpa mengkaji tuntutan dari kedua-dua aspek tersebut. Apapun jenis perniagaan yang anda pilih memerlukan anda berada pada tahap kecergasan mental dan fizikal yang baik untuk maju.
"Your success as an independent retailer depends on your ability to provide expertise, and to use it to benefit your customers. In retailing, you may be boss, but you work for everyone who walks into your store"

Baca selengkapnya ...

Friday, July 10, 2009

Khutbah Terakhir Rasulullah

Nota Cik Skaf: Saya ke Nilai 3 akhir tahun lalu untuk mencari frame hiasan – hajat untuk dihadiahkan kepada seseorang kerana berpindah ke rumah baru. Sewaktu mencari2 itu, saya terpandang satu frame yang digantung rendah. Bertulis - Khutbah Terakhir Rasulullah. Saya berdiri di hadapan frame dan membacanya. Tanpa sedar air mata mengalir. Terlalu sebak dan hiba. Melalui entry ini, saya juga ingin berkongsi catatan khutbah tersebut dengan yang lain.

KHUTBAH TERAKHIR RASULULLAH
9 ZULHIJJAH TAHUN 10 HIJRAH
DI LEMBAH URANAH, GUNUNG ‘ARAFAH

"Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan !!!
Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini.
Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu.


Allah telah mengharamkan riba’, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba’ hendaklah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakannya ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya. Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku.

Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hambaMu. "
-----------------------------------
Selepas baginda membacakan khutbah ini, para sahabat saling berpelukan kerana begitu gembira. Namun Sayyidina Abu Bakar perasan al-Qaswah unta nabi menitiskan air mata dengan banyak. Beliau pun ikut menangis.

Sayyidina Umar bertanya apakah sebabnya lalu Sayyidina Abu Bakar menjelaskan. Di sebalik berita gembira sempurnanya agama Islam, wahyu penutup itu juga petanda khabar duka. Baginda pasti akan meninggalkan mereka kerana tugasnya sebagai Rasul sudahpun selesai. Mendengar itu Sayyidina Umar pun menangis sama, begitu juga dengan para sahabat yang lain.

"Wahai seorang kekasih, telah lama kau dirindui, pilu sedih dalam kerinduan, menangispun tak berairmata, namun hati tetap gembira, syafaatmu menanti disana..di akhirat kita kan bersua"

Baca selengkapnya ...

BIZ : Bagaimana Nak Mula?

Nota Cik Skaf:
2 hari lepas seorang kawan lama menelefon. 1 jam kami berbual. Semuanya berkisar tentang keinginannya untuk membuka perniagaan sendiri serta rasa "menyampah" dan "bosan"nya dia dengan kerja makan gaji sekarang. Seperti biasa, pada awalnya saya hanya tergelak.

Sebenarnya ini bukan kali pertama saya ditanya pendapat dan diminta berkongsi cerita dengan teman yang mempunyai keinginan dan rasa seperti itu. Sudah terlalu kerap.

Saya sangat2 memahami mereka. Sebenarnya apa yang mereka inginkan adalah untuk lari dari masalah kerja yang sedia ada, lari dari orang2 atasan yang mereka anggap "mempergunakan" mereka, lari dari persekitaran kerja yang tidak memberangsangkan dan keinginan untuk bebas bekerja tanpa arahan dari sesiapa. Dan mereka menjangkakan dengan memiliki perniagaan sendiri kesemua masalah itu akan hilang dengan sekelip mata, seterusnya kehidupan mereka akan berubah, mereka akan bahagia, kaya dan bebas untuk selama-lamanya..*senyum*

Adakah anda juga berfikir seperti mereka? Jika Ya. Maka respon saya :
Anda silap. Dan jika inilah tujuan utama anda untuk memulakan perniagaan sendiri, maka maaf saya kata, anda akan kecewa, anda akan menderita dan anda akan gagal,

Memulakan perniagaan sendiri bukan sahaja bermaksud anda akan bebas bekerja tanpa paksaan dari sesiapa, bebas membuat keputusan sendiri dan bebas mendapat hasil yang banyak dari kerja keras anda TETAPI ia juga membawa maksud anda perlu bersedia untuk mengharungi segala masalah, tekanan dan kekecewaan yang jauh lebih teruk berbanding sewaktu anda makan gaji.

Perniagaan anda adalah "hidup dan mati anda". Anda perlu bertanggungjawab pada segala-galanya. Bermula dari yang sekecil2 urusan - siapa yang perlu membeli pen dan kertas utk kegunaan pejabat hinggalah kepada keputusan-keputusan besar dan rumit yang menentukan hala tuju perniagaan anda. Anda tidak bergantung pada sesiapa dan anda tidak boleh menyalahkan sesiapa. Jika pekerja anda tidak menjalankan tugas dengan sempurna, ia adalah bebanan anda, ia adalah dari kesilapan anda sendiri. Kerana jatuh bangun perniagaan anda adalah 100% di bawah tanggungjawab anda.

Namun begitu, ini bukanlah bermakna anda harus melupakan hasrat murni dan impian anda untuk memiliki perniagaan sendiri, anda boleh teruskan, namun jadilah seorang yang rasional, timbang baik dan buruknya serta cari maklumat sebanyak-banyaknya sebelum bermula.

Maka untuk itu, melalui blog ini, untuk beberapa entry selepas ini, InsyaAllah saya akan "menggagahkan" diri menulis pengalaman2 saya yang tidak seberapa dan berkongsi sedikit ilmu yang saya ada, tentang bagaimana untuk memulakan perniagaan (saya ulang - BAGAIMANA MEMULAKAN PERNIAGAAN, bukannya bagaimana untuk memajukan dan berjaya dalam perniagaan ya - yang ini biarlah mereka yang lebih berpengalaman dan berkelayakan berkongsi ilmu dan idea mereka dengan anda).

Saya juga akan cuba memberi maklumat tentang kelebihan dan kelemahan dalam pemilihan 3 jenis perniagaan ini (kerana inilah soalan yang paling banyak ditanya) - iaitu samada memilih perniagaan Francais, mengambilalih Perniagaan-sedia-ada ataupun memulakan-sendiri Kebetulan pula saya memang terlibat dengan ketiga2 jenis perniagaan tersebut, maka InsyaAllah ada maklumat berdasarkan pengalaman sendiri yang boleh saya kongsikan. (Manakala bagi yang berminat untuk menceburkan diri dalam "Perniagaan Internet", saya ingin mencadangkan anda melawat blog ini > http://www.e-webniaga.com/bengkelppt/ - En.Suhaily. Beliau lebih mahir dan punya pengetahuan luas dalam bidang ini)

(Oh ya, saya juga telah mengubah tajuk blog ini, tiada lagi "dari wanita untuk wanita" kerana saya telah ditegur oleh seseorang, saya seolah-olah menghadkan blog ini untuk pembacaan wanita sahaja. Harap dengan perubahan ini, beliau telah pun berpuashati .. huhu ;-) )

Baca selengkapnya ...