Apakah sebenarnya CINTA?
... dua jiwa dalam dalam satu fikiran,
dua hati dalam satu debaran.
Artikel diolah semula dari buku "Membina Hati Bahagia" dalam bab "Nikmatilah Cinta dalam Bentuknya yg Teristimewa" - Dr HM Tuah Iskandar.
Cinta adalah jelmaan kasih sayang yang teragung. Ia sukar digambarkan dengan kata-kata. Ia hanya dapat dinikmati secara mengalaminya sendiri. Ia tidak dipelajari, ia hadir sendiri.
Cinta menjadi jambatan penghubung kepada dua hati yang asalnya terpisah dan saling tidak mengerti.
Rasa Cinta adalah modal termahal yang dibekalkan kepada manusia untuk dirasai dan diberikan kepada insan yang berhak.
Jika sudah tiada Cinta di hati, tandanya salah satu nikmat Allah telah tercabut. Jika sudah tidak dapat menghargai cinta tandanya nilai kemanusiaan dalam diri sudah mula terhakis.
Cinta adalah pemangkin kepada kehidupan yang penuh bahagia. Ia adalah kenderaan menuju kebahagiaan. Ia seharusnya melahirkan tindakan2 yang melambangkan kelembutan, kasih sayang dan kebijaksanaan.
Cinta ibarat cahaya, ia bukan pencetus masalah dan pembawa derita. Ia tidak harus dinodai oleh
perlakuan-perlakuan kejam, tidak bermoral dan juga yang merosakkan kesuciannya. Apabila ia sudah tidak dihargai, maka kehidupan akan dijalani dengan penuh derita.
Cinta menerbitkan motivasi dalam diri. Ia mampu memandu manusia melepasi semua halangan demi kecemerlangan. Ia membuatkan manusia bangkit membina kehidupan yang terbaik.
Tidak perlu berkorban kehormatan untuk cinta kerana Cinta yang benar-benar suci dan semulajadi menjadikan pemiliknya bertambah matang, dewasa, beriman malah berpribadi mulia.
Jika cinta dijelmakan dalam diri ia begitu memotivasi. Jika diberikan kepada seseorang, ia ibarat menghadiahkan sebukit emas untuknya. Jika dijelmakan dalam rumahtangga, jawapannya adalah kerukunan, persefahaman dan kebahagiaan yang berpanjangan.
Begitulah seharusnya Cinta..
Nota Cik Skaf: Prof Hamka menyebut "Cinta itu laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanah yang berlainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah kedurjanaan, kedustaan, penipuan dan langkah serong. Tetapi jika ia jatuh ke tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan dan budi pekerti yang tinggi"
No comments:
Post a Comment