Sunday, July 19, 2009

"Dia: Telah Tiada"

Nota Cik Skaf: Maaf. Agak panjang entry kali ini. Saya ingin menulis suatu kisah tentang jiran saya. Harap anda sudi membaca hingga ke noktah terakhir.

Dia jiran saya. Memang betul-betul jiran, dinding rumah kami bercantum. Blok batu dinding kiri rumahnya merupakan blok dinding kanan rumah saya. Kami tiada jiran lain yang begitu dekat, kerana rumahnya adalah di end lot teres kami, manakala di sebelah kiri rumah saya pula adalah rumah yang tidak berpenghuni. Keterasingan ini menyebabkan kami agak akrab dan mesra, kemesraan yang bagaikan telah bertahun-tahun terjalin. Sedangkan saya baru sahaja berpindah ke sini awal tahun lalu - Mac 2008.

Keakraban ini juga mungkin disebabkan ada banyak persamaan2 kami. Kami berasal dari negeri yang sama - Johor dan kemudiannya berpindah ke sini demi mencari rezeki. Kami hampir sebaya, dan yang paling penting (saya fikir inilah sebab utamanya) ialah kerana kami masing-masing hidup sendirian. Kisah perjalanan hidup kami juga hampir sama. Maka kerana itu, kami serasi untuk saling teman-berteman. Jangan imaginasi yang tidak2 ya... dia juga seorang perempuan.

Disebabkan kesibukan dengan kerja masing-masing maka bukanlah setiap hari kami dapat berjumpa dan bercerita. Maka jika kebetulan tersua muka, kami pergunakan sebaiknya untuk saling menyapa dan bertanya khabar. Jika punya kesempatan di hujung minggu pula, kami saling bertandang ke rumah masing-masing. Sambil makan2 di sofa dan menonton TV, kami bercerita - pelbagai perkara. Selalunya tentang masa lalu kami, impian-impian dalam hidup dan apa cita-cita kami yang belum terlaksana. Manakala cerita-cerita duka dahulu menjadi bahan ketawa kami sahaja.

Tetapi itu dahulu, cerita tahun lalu. Bermula akhir Disember yang lepas, saya kerap melihat dia tidak sihat, demam dan selalu benar mengambil MC. Suatu hari di bulan yang sama, dia memberitahu saya - dia baru selesai membuat pemeriksaan di hospital pakar dan doktor mengesahkan dia mempunyai ketumbuhan di pangkal rahim! Saya terkejut. Terdiam. Cuba menahan diri, tapi tatkala melihat dia tersedu, saya turut tersedu. Kami menangis. Saya memberi semangat dan kekuatan kepada dia. "Buatlah pembedahan membuang ketumbuhan itu. InsyaAllah awak akan sihat seperti dulu. Dugaan ini dari Allah. Untuk menguji kekuatan dan keimanan awak, tanda kasih Dia pada awak". Saya berdoa dia akan tabah menempuhnya dan redha menghadapi dugaan berat ini.

Feb 2009 - Dia selamat menjalani pembedahan. Alhamdulillah segalanya telah selesai. Awal-minggu pertama selepas pembedahan itu, Saya lihat dia telah kembali sihat dan boleh menjalankan kerja-kerjanya seperti biasa. Selepas itu, entah mengapa kami jarang dapat bersua muka. Disebabkan tidak bersua muka dan cuma sesekali bertanya khabar via sms, maka saya beranggapan dia telahpun sihat sepenuhnya.

April 2009 - Telah seminggu saya melihat keretanya tidak bergerak. Mungkin dia mengambil cuti panjang, namun bayang dirinya tidak pula kelihatan. Suatu hari, bersama pembantu, saya menyempatkan diri datang bertandang. Dan alangkah terperanjatnya kami! Keadaan dirinya sangat berbeza. Dia sgt kurus dan cengkung. Wajahnya pucat, matanya tak lagi bersinar. Kami bersalaman dan berpelukan, terasa bahang panas badannya menjalar masuk ke dalam tubuh saya. "Apa telah berlaku? kenapa tidak beritahu saya apa-apa pun? Saya sangkakan awak sihat, kenapa sembunyikan daripada saya?". Dia tersenyum cuma, katanya tidak mahu menyusahkan hati saya dan melihat saya sedih. Oh Tuhan, tapi apa daya saya, dengan melihat keadaannya begitu, bagaimana saya dapat menahan air mata?
"Mengapa begini cepat sel kanser membesar di dalam tubuh? Kenapa sel-sel itu begitu kejam "memakan" dirinya sehingga menjelmakan dia sebegini rupa?" Namun kata-kata itu cuma berlegar2 di fikiran saya.

Awal Julai 2009 - Suatu petang, sewaktu saya menziarahinya, dia menyatakan dia akan dibawa pulang ke Johor pada keesokan hari , dia akan dijaga oleh keluarganya di sana dan akan dirawat di hospital JB sahaja. "Itulah yang terbaik bagi awak, tinggallah di sana bersama family dalam waktu rawatan ini". Dan semasa saya bersalaman sebelum keluar rumah, dia sempat berbisik, menyatakan keinginan untuk makan bubur nasi, ayam dan kentang goreng daripada kedai saya. Saya berjanji akan membawa makanan itu waktu pulang nanti. Di dalam fikiran, saya telah mengatur untuk menyuruh seorang staf menghantar makanan itu ke rumahnya secepat mungkin.

Namun ketika sampai di restoran, saya benar-benar terlupa. Sehinggalah pada malam hari sewaktu premis hendak ditutup, tiba2 saya teringat akan pesanannya itu. MasyaAllah. Hampir menjerit saya! marah dengan diri sendiri. Namun saya bungkuskan juga bubur nasi, ayam dan kentang goreng untuk dibawa pulang. Setibanya di rumah, seperti diduga, saya cuma dapat berjumpa dan menyerahkan semua makanan itu kepada pembantunya sahaja. Dia telah pun tidur. Tak terkira kesal di hati saya. Sempat saya mengirimkan salam.

Semalam - Sabtu: 18 Julai 2009: 6.00 petang. Janji Allah telah datang. Ketika saya sedang agak sibuk di dalam keriuhan orang ramai. Saya mendapat panggilan telefon dari pembantunya. Sayup di hujung talian saya mendengar suaranya bergetar menahan tangis "Kakak, harap bersabar ya. jangan terperanjat, kak Ana sudah tiada, dia telah meninggal dunia sebentar tadi .........." ............... sunyi, saya tidak mendengar apa-apa lagi. Kaku sebentar. Dunia terhenti seketika. Benarkah? Mengapa begini cepat? Baru beberapa bulan sahaja dia mengetahui penyakitnya. Dia masih muda. Dia seusia saya.! Sedih sayu menikam-nikam perasaan. Oh Tuhan.. Jika inilah terbaik untuknya. Siapalah saya untuk menolak takdir. Saya redha. "Dari Allah Kita Datang, KepadaNya lah Jua Kita Akan Kembali."

Rupanya hari di mana dia ingin makan bubur nasi itu adalah hari terakhir saya dapat berjumpa dan berbual dengannya. Selepas ini tiada lagi. Dia telah pergi. Dengan meninggalkan kenangan dan impian hidupnya kepada saya.
Inilah janji yang telah Allah tetapkan. Kematian Pasti Datang. Dan kita sebagai makhluknya langsung tiada kudrat untuk mengetahui bilakah masanya, apatahlagi untuk mengelakkan diri daripadanya. Semalam, adalah giliran dia, giliran saya akan tiba juga suatu hari nanti, di suatu masa yang saya sendiri tak tahu bila. Adakah malaikat maut akan datang menjemput ketika usia tua nanti atau dalam usia2 sebegini..?. Sesungguhnya itu adalah rahsia Allah, tak siapa pun akan tahu. Dan jika datangnya dalam usia2 sebegini, apakah yang saya ada sebagai bekalan untuk dibawa ke sana? Ohhh.. Saya benar-benar menginsafi diri.

Mohon pada Mu Ya Allah, moga sewaktu saya (dan kita semua) kembali kepadaMu nanti, kita telah dapat menyiapkan diri dengan bekalan secukupnya dan membawa bersama iman dan cinta yang tak bertepi untuk Mu yang Maha Pencipta.

"Rohana - Ya. Dia jiran dan sahabat saya dan dia telah kembali mengadap Ilahi mendahului saya. Beginilah pengakhiran persahabatan kami di dunia ini."

Al-Fatihah untuk Arwah Rohana. Moga rohnya dicucuri rahmat
dan ditempatkan di kalangan orang-orang soleh.

7 comments:

Mama Alin said...

Takziah..
memang amat menyedihkan kehilangan orang yang kita kenal..apalagi yang rapat dengan kita.. tapi kita kena redha dengan ketentuanNya..

Cik Skaf said...

Mama Alin: Terima kasih. Dah beberapa kali sy hadapi keadaan kehilangan orang2 yang rapat. Memang cukup menyedihkan. Itulah redhalah yang terbaik. hmm..life akak ok ke tu?

Muhd Suhaily said...

Memang amat perit kehilangan seseorg yg kita sayang. Saya pernah mengalaminya sehinggakan merasa dia seolah-olah sentiasa mengikutiku setiap saat,bayangnya dan bentuk fizikalnya pernah saya melihatnya.Setiap mlm juga terasa kehadiranya,tapi saya tahu itu semua cabaran dan dugaan yg mengaburi mata ini. Itulah realitinya yg benar berlaku...

Cik Skaf said...

Muhd Suhaily: owh!sampai begitu sekali yer sdra rasa slps kehilangannya. tentunya arwah seseorg yg sngt rapat dgn sdra. Harap kita sama2 dpt mengawal diri dari kesedihan yg berpanjangan akibat kematian org2 yg tersayang ni.

azimask said...

salam cik skaf....

takziah buat arwah rohana
semoga dia ditempatkan di kalangan org yang beriman...

Cik Skaf said...

Mimie : InsyaAllah. Begitulah yg kita harap2 kan. sambung study yer? di mana?

azimask said...

cik skaf.. mie ssambung upm... :D...