Saturday, July 4, 2009

20 Nasihat Utk Wanita

Berikut adalah ringkasan kata-kata nasihat yang boleh kita jadikan panduan hidup, yang mana sebahagian besarnya saya petik dari buku "50 Wasiat Rasulullah Utk Wanita". Moga dengan melaksanakannya kita sama-sama memperolehi kehidupan yang lebih bahagia dan mati kelak dalam keadaan terpuji. InsyaAllah.

1. Ikhlaskanlah hati kerana Allah tatkala bersendirian mahupun terang-terangan, hindarilah riya' dalam perkataan mahupun perbuatanmu.

2. Jadilah orang yang selalu melaksanakan solat tepat pada waktunya dan melaksanakan solat sunat semampumu.

3. Hendaklah dikau mendalami ilmu agama dan janganlah dikau memandang segala urusan hanya dengan kekuatan akalmu sahaja.

4. Taatlah dikau kepada suamimu, dan janganlah dikau menolak apapun yang diminta selain bukan suatu kederhakaan, jagalah dirimu dan hartanya semasa dia tiada di sisimu.

5. Berbaktilah kepada orang tuamu dengan cara berbuat baik kepada keduanya, dan usahakanlah agar dikau selalu dapat menggembirakan mereka.

6. Hindarilah syirik dalam akidah dan ibadahmu.

7. Berbuat baiklah kepada jiran-jiranmu, baik dalam perkataan mahupun perbuatan.

8. Jadilah dikau sesama muslimah pesaing dalam kebaikan dan bersegeralah menjauhi keburukan, perbanyakkan zikir dan sedekah.

9. Didiklah diri menjadi wanita mulia dan jauhilah sifat kedekut, kerana Allah mencintai orang yang mulia dan pemurah hati serta membenci orang yang bakhil.

10. Bacalah Al-Quran selalu dan jadikanlah ia sebagai tempat kembali bagi dirimu.

11. Jagalah hatimu dari pelbagai macam syahwat dan syubhat.

12. Didiklah anak-anakmu dengan menanamkan sifat jujur, baik dalam perkataan mahupun perbuatan, ajar mereka adab dan akhlak yang baik.

13. Jauhilah dirimu dari selalu mengadu domba serta memburuk-burukkan kehormatan sesama wanita Muslimah.

14. Janganlah dikau mencela orang lain. Sentiasalah membuat persangkaan bahawa wanita Muslimah SELAIN dirimu lebih utama darimu di sisi Allah.

15. Jadilah wanita yang zuhud di dunia dan menyenangi akhirat.

16. Janganlah menjadi wanita yang suka mengeluh dan marah-marah tatkala mendapat cubaan. Jadilah wanita yang sabar dan pasrah demi mencari pahala dan redha Allah.

17. Jadilah wanita yang dapat dipercayai dan boleh memegang amanah.

18. Janganlah dikau memandang orang yang lebih tinggi dari dirimu dalam hal keduniaan, tetapi pandanglah yang lebih rendah, agar dikau tidak menganggap hanya sedikit nikmat yang Allah kurniakan kepadamu.

19. Bersiap-siaplah menghadapi mati, sebelum ia benar-benar mendatangimu, sentiasa memohon keampunan serta rahmat Allah.

20. Gembirakanlah wanita Muslimah lain dengan sesuatu yang kamu senangi, dan buatlah mereka membenci sesuatu yang juga dikau benci.

Nota Cik Skaf: Seorang A'rabi pernah berkata " Wanita yang paling utama adalah yang paling benar apabila berbicara, yang bersikap halus apabila sedang marah, yang hanya tersenyum ketika tertawa, yang mentaati suaminya, yang sentiasa berada di rumahnya, yang terhormat di tengah kaumnya, namun merasa diri hina ketika bersendirian mengadap Tuhannya. Yang melimpah ruah kasih sayangnya, ramai anaknya dan urusannya terpuji"

3 comments:

Muhd Suhaily said...

Panduan yang bagus bukan sahaja wanita malahan utk lelaki juga..

Cik Skaf said...

Muhd Suhaily : Ya muga menjadi panduan dan ingatan buat kedua-duanya.

Mama Alin said...

Peringatan yang amat bagus untuk saya yang mudah lupa...terimakasih.