Saturday, July 4, 2009

Tanda Orang Berakal

Artikel ini adalah ringkasan dari buku "Falsafah Hidup" dalam tajuk "Tanda Orang Berakal" - Prof Dr Hamka. Untuk renungan bersama.

Orang yang berakal, pandai memilih perkara yang memberi manfaat dan menjauhi yang akan menyakiti. Mereka menimbang biarlah susah menempuh suatu perkara sulit asal akibatnya baik, daripada perkara yang mudah tetapi akibatnya buruk.

Orang berakal selalu bermuhasabah diri. Bermuhasabah diri ialah dengan menilik hari-hari yang telah dilalui, adakah dipergunakan kepada perbuatan-perbuatan yang berguna, dan hari-hari yang masih tinggal kemanakah pula digunakan.

Orang yang berakal selalu mengingati kekurangannya, baik kekurangan pada agama, atau pada akhlak dan kesopanan. Setelah itu diikhtiarkan beransur-ansur untuk merubah segala kekurangan itu.

Orang yang berakal tidak berdukacita jika ada cita-citanya di dunia yang tidak sampai atau nikmat yang meninggalkannya. Diterimanya apa yang terjadi atas dirinya dengan tidak merasa kecewa dan tidak putus-putusnya berusaha.

Orang yang berakal tidaklah berduka hati. Kerana kedukaan itu tiadalah faedahnya. Banyak duka mengaburkan akal. Tidak juga dia bersedih. kerana kesedihan tidaklah memperbaiki perkara yang telah terlanjur. Banyak sedih juga mengurangkan akal.

Orang berakal tidaklah menjawab sebelum ditanya. Tidak pula menjawab pertanyaan lebih daripada mesti. Tidak pula suka menghinakan orang.

Orang berakal tidak lupa pada bahagian cela dirinya, kerana orang yang lupa memandang aib dirinya sendiri, akan lupalah kepada kebaikan orang lain. Maka lupa akan aib diri itu adalah bencana hidup yang sebesar-besarnya.

Nota Cik Skaf : Sabda Rasulullah "Sesungguhnya orang yang bodoh tetapi rajin beribadat telah tertimpa bahaya lantaran bodohnya, lebih besar daripada bahaya yang menimpa lantaran kejahatan yang dilakukan oleh si durjana. Yang mengangkat manusia kepada darjat dekat kepada Tuhan ialah menurut kadar akal mereka jua"

3 comments:

Muhd Suhaily said...

Wanita dan lelaki sejati adalah hasil dari penggunakan akal yang baik.

Muhd Suhaily said...

TQ memasukkan links saya, saya akan masukkan link skaf dlm my blog...TQ

Cik Skaf said...

Muhd Suhaily : Terima kasih